Tuesday, April 28, 2015

Sazali, Nicol dinobat Olahragawan dan Olahragawati Anugerah Sukan Negara 2014


PETALING JAYA, 28 April (Bernama) -- Ratu skuasy negara Datuk Nicol David mencipta rekod baharu apabila dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan buat kali ke-10 pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2014, malam ini.

Menerusi pencapaian itu, beliau muncul atlet negara yang paling banyak memenangi ASN sejak anugerah itu diperkenalkan pada 1966.

Atlet kelahiran Pulau Pinang itu, sebelum ini pernah dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan pada 1999, 2003, 2005, 2006, 2007, 2008, 2009, 2010 dan 2013.

Pencapaian itu juga mengatasi rekod yang dicatat dua atlet tersohor negara, Nurul Huda Abdullah dalam acara renang dan Shalin Zulkifli dalam acara boling.

Nurul Huda pernah mencipta rekod memenangi anugerah itu sebanyak lima kali berturut-turut dari 1985 hingga 1989 manakala Shalin menjulang anugerah itu pada 1994, 1996, 1997, 2001 dan 2002.

Nicol, 31, mencipta sejarah dalam arena skuasy sebagai pemain nombor satu dunia paling lama, iaitu 108 bulan sehingga kini, mempamerkan prestasi konsisten sepanjang penampilannya di pentas antarabangsa.

Antara pencapaian cemerlang beliau tahun lepas ialah meraih pingat emas Sukan Komanwel Glasgow, Scotland bagi acara perseorangan; emas acara perseorangan dan berpasukan Sukan Asia Incheon, Korea Selatan serta juara Kejohanan Dunia di Mesir.

Jaguh bina badan Sazali Abd Samad pula muncul Olahragawan Kebangsaan buat kali keempat selepas meraih gelaran itu pada 2006, 2010 dan 2013.

Sazali adalah atlet bina badan kedua yang dipilih memenangi anugerah itu selepas Datuk Malik Noor pada 1986.

Pegawai polis berpangkat Sub Inspektor berusia 46 tahun itu, meraih gelaran Mr Universe buat kali ke-10 pada Kejohanan Bina Badan Dunia di Mumbai, India pada Disember tahun lepas.

Selain itu, Sazali juga meraih pingat emas pada Kejohanan Bina

Badan Persekutuan Bina Badan dan Fizikal Sedunia (WBPF) di Macau, tahun lepas dalam kategori 75kg.

"Saya akan terus melipat gandakan latihan dan anugerah ini menjadi pembakar semangat saya. Kejayaan ini tidak datang dengan mudah kerana ia memerlukan kesabaran dan komitmen yang tinggi dalam menjaga makanan untuk memastikan keadaan fizikal saya sihat," kata Sazali.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyampaikan anugerah kepada pemenang berupa piala, blazer dan wang tunai RM20,000 serta dua tiket penerbangan kelas perniagaan ke destinasi pilihan di Australia tajaan MAS untuk Olahragawan dan Olahragawati pada majlis itu yang berlangsung di sebuah hotel, di sini.

Sementara itu, Allahyarham Mohd Azlan Mat Lazim dan Siti Nooriasah Mohamad Ariffin, masing-masing dianugerahkan Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan.

Mohd Azlan, 25, yang terkorban dalam kemalangan jalan raya pada Januari lepas, menyumbangkan tiga pingat emas kepada negara pada Sukan Para Asia, Incheon pada Oktober tahun lepas dalam acara 100, T36, 200m T36 dan 400m T36.

Siti Nooriasah, 26, pula menyumbangkan pingat emas dalam acara 400m T20 dan perak dalam acara lompat tinggi T20 pada temasya yang sama.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia Datuk Ong Poh Eng dipilih sebagai pemenang Anugerah Kepimpinan Negara.

Nicol diwakili bapanya Desmond David manakala Allahyarham Azlan diwakili bapanya Mat Lazim Ali pada majlis tersebut.

"Terima kasih kerana sekali lagi menganugerahkan saya sebagai Olahragawati Kebangsaan. Saya akan berusaha mencatat keputusan lebih baik tahun ini," kata Nicol menerusi rakaman video.

Terdahulu dalam ucapannya, Khairy berkata atlet negara menjadi pencetus utama kepada gerakan ke arah negara bersukan.

Beliau berkata segala usaha dan perancangan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bersukan tidak akan berjaya tanpa kehadiran atlet yang menjadi inspirasi paling popular untuk rakyat.

"Apabila anda (atlet) menyarung jersi negara dan memberikan yang terbaik di dalam gelanggang, puluhan ribu rakyat Malaysia turut turun ke padang bermain sukan yang sama sambil menjadikan anda sebagai idola," katanya.

Dalam pada itu, Khairy turut menyeru agar semua pihak memberi kerjasama untuk menjayakan sambutan Hari Sukan Negara yang akan disambut buat pertama kali pada 10 Okt depan, sebelum diraikan pada setiap Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan; Pengerusi Panel Penasihat Sukan Negara Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid; Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar; Ketua Pegawai Eksekutif TM Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Jamil Salleh.

SENARAI PENERIMA ANUGERAH:

1. Olahragawan Kebangsaan - Sazali Abd Samad

2. Olahragawati Kebangsaan - Datuk Nicol David

3. Pasukan Lelaki Kebangsaan: Pelayaran - Muhamad Faizal Norizan, Ahmad Syukri Abdul Aziz

4. Pasukan Wanita Kebangsaan: Skuad Skuasy Kebangsaan - Datuk Nicol David, Low Wee Wern, Delia Odette Arnold, Zulhijjah Azan, Vanessa Raj Gnanasigamani

5. Olahragawan Paralimpik Kebangsaan - Allahyarham Mohd Azlan Mat Lazin

6. Olahragawati Paralimpik Kebangsaan - Siti Nooriasah Mohamad Ariffin

7. Jurulatih Lelaki Kebangsaan - R. Jaganathan (Olahraga)

8. Anugerah Kepimpinan Sukan - Datuk Ong Poh Eng (Angkat Berat)

9. Anugerah Khas - Mohd Afendy Abdullah (Pelayaran), mendiang Peter Rajah (Bola Sepak)

Sunday, April 5, 2015

Impian besar Nicol mahu lahirkan ramai ‘Nicol David’



KUALA LUMPUR – Membuka akademi skuasy dan melahirkan ramai bintang dunia menjadi impian ratu skuasy negara, Datuk Nicol David dalam tempoh dua tahun dari sekarang. 

Jaguh berusia 32 tahun kelahiran Pulau Pinang itu berkata, akademi tersebut adalah sasaran peribadinya menjelang penghujung karier, malah dia turut berhasrat menjadi jurulatih kebangsaan.
Katanya lagi, akademi tersebut akan menyeimbangkan dua gabu­ngan iaitu dalam bidang akademik dan sukan skuasy.

“Selepas bersara, saya masih mahu melibatkan diri dalam sukan skuasy.
“Saya ingin menabur bakti kepada negara saya dengan apa yang telah saya kecapi selama ini.
“Saya juga mahu menubuhkan akademi saya sendiri di setiap ne­geri bagi menggilap bakat ge­nerasi muda, di mana ia turut menggabungkan bidang akademik dan sukan termasuk menyalurkan bantuan biasiswa.

“Itu sasaran utama saya iaitu melahirkan bakat-bakat baharu dalam sukan ini.
“Selain itu, saya juga berhasrat menubuhkan syarikat reka bentuk saya sendiri kerana saya amat menggemari seni rekabentuk. 

“Saya harap satu hari nanti saya dapat melibatkan diri dengan bidang tersebut,” katanya.
Nicol ditemui di Pusat Beli Belah Bangsar, di ibu negara semalam dalam majlis ramah mesra bersama peminat.

Majlis berkenaan bertujuan untuk membolehkan dia meraikan kejayaan mempertahankan kedudukan No. 1 dunia selama 107 bulan bersama peminat. 

Kejayaan Nicol itu telah mengatasi rekod Susan Devoya dari New Zealand iaitu 105 bulan.
Majlis tersebut dibawakan khas oleh Kumpulan CIMB, di mana Nicol merupakan duta terlama mereka iaitu sejak tahun 2006.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group Holdings Bhd., Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pihaknya berbangga dengan pencapaian dan prestasi konsisten yang diserlahkan Nicol.

“Sejak beliau dilantik sebagai duta CIMB pada tahun 2006, kami sudah melihat bakatnya dan kini Nicol meletakkan nama negara kita dalam peta dunia.

“Kekuatan mental dan sema­ngatnya amat menakjubkan dan CIMB berbangga bekerjasama de­ngan beliau dalam arena sukan,” katanya.