Tuesday, February 24, 2009

Muzium sukan bakal diwujudkan - Ismail Sabri


ISMAIL SABRI YAAKOB


KUALA LUMPUR - Impian bakal menjadi kenyataan. Itulah yang diharapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang mahu menjadikan Kompleks Sukan Negara (KSN) sebagai bandar sukan apabila sebuah muzium sukan bakal diwujudkan tidak lama lagi.

Pengumuman yang telah dibuat pada 12 Julai tahun lalu ketika KSN menyambut ulang tahunnya yang ke-10 sudah diberi bayangan oleh KBS bahawa usah mereka untuk merealisasikan rancangan itu bukan omong kosong.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selain menjadikan KSN sebagai gelanggang untuk kejohanan dan pusat barangan sukan, muzium sukan juga akan diwujudkan di situ.

"Kita sedang melakukan kajian dengan teliti untuk mewujudkan muzium sukan ini dan tokoh sejarah seperti Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim bersama yang lain sudah memulakan kajian itu," katanya selepas merasmikan Majlis Pra-Pelancaran Pameran dan Perdagangan Sukan Antarabangsa (MISET) 2009, semalam.

Jelasnya, kajian teliti perlu sebelum muzium tersebut diwujudkan dan ia mengambil sedikit masa dengan tidak melakukannya secara tergesa-gesa.

"Kita akan bekerjasama dengan individu tertentu mahupun Yayasan Atlet Kebangsaan (Yakeb) dalam membina muzium tersebut.

"Mungkin kita akan mempamerkan jersi Allahyarham Mokhtar Dahari dengan meminta keizinan daripada keluarganya ataupun meminta jasa baik Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk mempamerkan barangan sukan yang dimiliki baginda," ujarnya

Katanya, perancangan muzium sukan ini sudah bermula dan mahu semua rakyat sentiasa mengingati Bukit Jalil sebagai bandar sukan.

"MISET 2009 ini juga sebagai salah satu usaha untuk menjadikan KSN sebagai bandar sukan, pameran seperti ini ialah yang pertama di Asia Pasifik.

"Ia sebagai momentum untuk mewujudkan bandar sukan apabila 20 negara sudah membuat pengesahan ingin mengambil bahagian dalam pameran ini, sekali gus memperkenalkan KSN di mata dunia," kata Ismail.

Menurutnya, dalam keadaan ekonomi yang tidak mengizinkan dan menunggu bandar sukan ini dilancarkan adalah lebih baik pameran seperti itu menjadi langkah pertama untuk merealisasikan impian tersebut.

"Saya amat berbesar hati dengan kesudian Yakeb yang datang membantu dan menganjurkan pameran ini dan saya mahu ia dijadikan sebagai aktiviti tahunan.

MISET 2009 akan diadakan pada 26 hingga 28 Jun depan di Stadium Putra Bukit Jalil dengan objektif utama adalah untuk mencari pasaran, membina hubungan, mengenalpasti peluang dan membangunkan teknologi baru dalam peralatan sukan.

No comments:

Post a Comment