Thursday, June 25, 2009

Veteran lumba basikal cadang berkayuh


KUALA LUMPUR - Shaharudin Jaffar baru lima bulan menjalani pembedahan pintasan jantung, kini mengalami masalah buah pinggang dan sudah mencecah usia 70 tahun.

Namun, kerana cintanya terhadap lumba basikal dan keinginan membantu rakan-rakan atlet untuk menikmati kehidupan lebih baik, bekas pemenang pingat emas lumba basikal pertama Malaysia pada Sukan SEAP itu sanggup berbasikal bagi mengutip dana mengisi tabung Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).

Bagi Shaharudin, barangkali ini adalah sumbangan terakhir yang dapat diberi kepada sukan yang sangat dicintai dan rakan-rakan seperjuangan.

Katanya, idea untuk mengadakan program ini diambil sempena kempen mengisi dana Yakeb, RM1, 1Malaysia yang dilancarkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada 15 Jun lalu.

"Saya sering tertanya-tanya, apakah lagi sumbangan yang boleh saya berikan kepada negara, kepada lumba basikal dan kepada sukan tanah air keseluruhannya, lalu saya fikir mungkin ini cara yang boleh saya lakukan.

"Saya amat mengagumi idea penubuhan Yakeb kerana ia memperjuangkan nasib atlet, menaikkan martabat sukan negara, jadi saya mahu membantu setakat mana yang saya boleh.

"Sebab itu saya cadang hendak melakukan program berbasikal, pusing Kuala Lumpur dan kutip derma daripada orang ramai untuk mengisi tabung Yakeb. Saya cadang hendak pergi dari satu tempat ke satu tempat yang menjadi tumpuan.

"Ia tidak mudah, apatah lagi dengan tahap kesihatan saya yang kurang baik. Namun, ada beberapa rakan yang menyuarakan persetujuan untuk turut serta dalam program ini, jadi saya rasa amat bersemangat,'' ujar Shaharudin.

Bagaimanapun kata Shaharudin, program berbasikal untuk mengutip dana masih lagi di peringkat perancangan dan hanya akan dikemukakan kepada Pengerusi Eksekutif Yakeb, Datuk Paduka Dr. Mumtaz Jaafar, esok.

Kata pemenang pingat emas lumba basikal trek 800m pada Sukan SEAP 1965 itu, jika rancangan ini dipersetujui Mumtaz, maka ia boleh dimulakan dengan segera.

"Saya juga ingin menyeru kepada semua atlet dan bekas-bekas atlet agar menjadi ahli Yakeb. Jangan tunggu bila dah sakit baru nak jadi ahli.

"Kepada bekas atlet yang mempunyai nama besar dan dianggap tokoh dalam sukan mereka, saya juga menyeru mereka agar memainkan peranan lebih efektif untuk membantu Yakeb,'' katanya lagi.

UTUSAN

No comments:

Post a Comment