Tuesday, July 21, 2009

Diabetes tak sekat aktiviti Samah


SAMAH kini berkhidmat di pusat sumber Kementerian Pertahanan.

Bekas badang negara tetap cintakan angkat berat selepas bersara pada 1989

KETIKA Malaysia menghantar kontinjen atlit ke Kejohanan Angkat Berat Asia 1979 di China, penganjur menjangkakan satu bas penuh yang dipenuhi atlit tetapi terkejut melihat hanya seorang atlit keluar daripada bas itu.

Lelaki itu adalah Samah Ali. Sungguh pun Samah meraih tempat keempat, ia adalah kenangan manis yang tidak akan dilupakannya bertanding di luar Malaysia.

Bekas pemenang emas Sukan Sea dan emas Kejohanan Asean kini berkhidmat di pusat sumber Kementerian Pertahanan.

Sungguh pun disahkan menghidap diabetes pada 2000, kegilaan Samah yang berhenti secara aktif dalam sukan itu pada 1989, masih kekal. Malah dia kini melatih atlit angkat berat muda.

Bekas juara kebangsaan berusia 55 tahun itu menghidapi penyakit itu sejak sembilan tahun lalu dan baru-baru ini, kehilangan dua jari pada kaki kirinya sehingga terpaksa mengambil cuti sakit selama dua bulan dan perlu menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur setiap dua hari.

Yayasan Atlit Kebangsaan (Yakeb) tampil untuk membantu Samah membiayai keperluan perubatannya. Yakeb melancarkan kempen 1Ringgit 1Malaysia bulan lalu dalam usaha untuk membantu bekas atlit yang sakit atau memerlukan bantuan kewangan.

Baru-baru ini, pegawai Yakeb berkunjung ke gimnasium Raja Muda, gelanggang Samah menjalankan latihannya.

Mengimbas saat-saat kompetitifnya, Samah berkata: "Pada tahun-tahun awal, kami mempunyai jurulatih dari Russia yang juga bekas juara Olimpik, yang arif menemui bakat-bakat baru.

"Dia berkata saya mempunyai bakat untuk menjadi juara dunia dan bertanyakan kepada saya sama ada berminat atau tidak untuk berlatih di Russia, tetapi saya menolak dengan baik kerana ketika itu kami tidak dibenarkan ke Russia kerana ia adalah kerajaan komunis."

Kepada mereka yang ingin menghulurkan derma, bolehlah menderma menerusi akaun Maybank Yakeb untuk kempen 1Ringgit 1Malaysia, 564847005696. Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi sms. Hantar YAKEB1, YAKEB2, YAKEB5 atau YAKEB10 (RM1, RM2, RM5, RM10) ke 33898.

Tabung kutipan diletakkan di ibu pejabat NST di Jalan Riong, Kuala Lumpur dan cawangan di seluruh negara. Sumbangan juga boleh disalurkan di kesemua cawangan Bank Simpanan Nasional di seluruh negara.

Kisah Samah boleh diikuti menerusi program BersamaMu-Wira, Anda Tetap di Hati di TV3 jam 9.30 malam ini.BERITA HARIAN

Mewakili Malaysia dalam Sukan Angkat Berat pada sukan Sea Games 1977 - 1989.

No comments:

Post a Comment