Tuesday, July 14, 2009

Mariappan rela dibuang kerja demi negara


MARIAPPAN teruskan latihan sekalipun berdepan dengan kehidupan harian tidak menentu.

Kini bergantung hidup kepada elaun latihan RM500

PENGORBANAN atlit paralimpik negara, P Mariappan tiada sempadannya dan segala-galanya dilakukan demi mengharumkan nama negara di pelbagai temasya Sukan Paralimpik.

Namun, akibat kerelaannya berkorban untuk negara dia sudah dua kali dibuang kerja dan kini hanya bergantung harapan kepada elaun latihan pusat sebanyak RM500 dan RM230 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Jumlah itu ternyata tidak mencukupi baginya menyara kehidupan harian isteri yang tidak bekerja dan tiga anak kesayangannya.

Dalam usaha membantu Mariappan, Yayasan Kebajikan Atlit Kebangsaan (Yakeb) kini sedang mengumpul dana bagi membantunya menerusi Kempen 1Ringgit 1Malaysia.

Bagi Mariappan, dia berharap pada satu hari nanti akan ada pencen bagi atlit paralimpik kerana baginya, mereka juga berjuang mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

"Saya berasa perlu ada skim pencen untuk kami atlit paralimpik, kerana saya percaya kami juga berhak mendapatkannya seperti atlit negara yang lain," kata Mariappan.

Mariappan mewakili negara di enam Sukan Paralimpik sejak 1987. Antara pencapaian adalah pingat gangsa di Sukan Paralimpik Seoul pada 1988, Paralimpik Barcelona 1992 (gangsa) dan juga mengatasi rekod Sukan Para Asean yang diciptanya dalam kategori bawah 67.5 kilogram lelaki pada temasya Sukan Paralimpik di Beijing 2008.

Kepada mereka yang ingin menghulurkan derma, bolehlah menderma menerusi akaun Maybank Yakeb untuk kempen 1Ringgit 1Malaysia, 5648 4 7005696. Jangan lupa menonton BersamaMu-Wira, Anda Tetap di Hati di TV3 jam 9.30 malam ini.- BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment