Wednesday, July 8, 2009

Wira negara sara keluarga hasil wang cuci kereta


ROSLI menunjukkan keratan akhbar ketika dikunjungi YAKEB di rumahnya di PPR Kampung Muhibah, Puchong.

N A Rosli harumkan negara pada era 60-an dalam lumba basikal

SIAPA sangka tubuh kecil Rosli Abdul Kader atau lebih dikenali sebagai N A Rosli yang kini sudah menghampiri usia 70 tahun, pernah hampir menggegarkan pentas perlumbaan basikal lebuh raya di Sukan Asia Jakarta 1962.

Ketika bersama peloton memasuki kawasan pendakian, Rosli sudah melihat peluang untuk memisahkan diri daripada kelompok besar itu, dan mula mengayuh basikalnya sekencang denyutan jantungnya.

Rosli dicabar hebat pelumba Korea Selatan dan Jepun tetapi jelas kudratnya kian berkurang untuk membenarkan dua pelumba negara berkenaan memintasnya dan terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.

Itulah kenangan yang tidak akan dilupakan Rosli, 70, yang ketika itu baru pertama mewakili negara yang masih dikenali sebagai Malaya. Tapi itulah juga titik yang menandakan pembabitan 11 tahun buat Rosli dalam sukan itu yang berakhir ketika umurnya mencecah 34 tahun.

Rosli, dari Bunut Payong di Kota Bharu, Kelantan, berazam untuk menempa nama dalam perlumbaan pertama dalam temasya itu dan hasratnya tercapai apabila dia memenangi pingat gangsa dalam perlumbaan lebuh raya 100km.

Selepas bertanding dalam Sukan Komanwel Perth 1962, Rosli yang ketika itu berusia 23 tahun, akhirnya memenangi emas dalam Kejohanan Lumba Basikal Asia di Kuala Lumpur pada 1963 dalam acara berpasukan di trek rumput Stadium Merdeka.

Rosli meneruskan pembabitannya bersama skuad kebangsaan sehingga 1973. Ng Joo Ngan, Ng Joo Pong, Nordin Puteh, Shaharudin Jaafar dan Andrew Micheal adalah antara nama-nama besar yang pernah berentap dengannya sewaktu bergelumang sebagai pelumba basikal.

Hari ini, Rosli menetap di rumah pangsa tiga bilik bersama isteri dan anaknya yang bongsu. Dia mempunyai lapan anak dan 17 cucu.

Yayasan Kebajikan Atlit Kebangsaan (YAKEB) mengunjungi Rosli di kediamannya di Kampung Muhibah, Puchong baru-baru ini untuk melihat perkembangannya sejak meninggalkan sukan basikal.

Kegilaan Rosli terhadap sukan lumba basikal bermula ketika dia masih kecil.

"Ketika itu, saya tak mampu membeli basikal, jadi pilihannya adalah untuk menyewa satu dengan kadar 30 sen sejam setiap hari supaya saya dapat mengayuh setiap hari," kata Rosli, yang menyara kehidupannya dengan membasuh kereta dan melakukan kerja am.

Dia memperolehi pendapatan sekitar RM700 sebulan, realiti pahit yang terpaksa diterima oleh seseorang yang banyak mengorbankan diri buat negara menerusi pembabitannya dalam lumba basikal.

"Saya membasuh kereta hampir sembilan tahun sekarang, ia adalah cara tunggal yang saya tahu untuk menyara isteri dan diri saya."

Turut hadir pada kunjungan itu adalah wakil Faiza Sdn Bhd yang menderma RM2,000 dan sekampit beras kepada Rosli dan keluarganya.

Sumbangan orang ramai dan korporat amat diperlukan bagi membantu bekas ahli sukan dan keluarga mereka, antara program yang dijalankan YAKEB.

Semua sumbangan boleh disalurkan kepada: Tabung Yakeb, No Akaun: 564847005696 (Maybank) dan sebarang pentanyaan boleh dibuat dengan menghubungi 03-89964841/4844 atau layari www.yakeb.org.my.

Episod khas mengenai Rosli akan disiarkan dalam rancangan BersamaMu-Wira Sukan, Anda Tetap Di Hati di TV3 pada jam 9.30 malam ini. BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment