Tuesday, August 18, 2009

Nadarajan harap jasa tidak dilupa



NADARAJAN (berkerusi roda) menerima kunjungan mesra pelajar USM dan wakil penaja, Faiza ketika mengadakan lawatan ke rumahnya di Tanjung Bungah, semalam.

Pernah menang emas 4x400m Sukan Sea

SUKAR untuk dipercayai, D Nadarajan yang dulu gagah berlari di atas trek, kini terlantar sakit pada usia 35 tahun.

Kerjaya gemilangnya sebagai atlit kebangsaan terpaksa dipendekkan berikutan kemalangan tragik yang mengakibatkan dirinya terlantar sakit untuk seumur hidupnya. Dia kini memerlukan penjagaan 24 jam dan kehilangan keupayaan untuk bertutur.

Dia tidak lagi boleh mengenali wajah tetapi boleh mengingati mereka jika dibantu. Ingatannya masih kekal kecuali jika ditanya mengenai kemalangan itu. Bahagian otaknya yang cedera teruk itu dikeluarkan.

Bekas pegawai bank itu berada dalam koma selama enam bulan. Nadarajan terus dirundung derita apabila jatuh dan patah kakinya sewaktu sesi fisioterapi.

Dia kini tinggal bersama isterinya, Shamala Dorasamy, 30, seorang suri rumah dan empat anak, Jivithra, 8, Lineysa, 7 dan kembar berusia empat tahun, Peravinash dan Peravishah yang ditanggungnya atas bantuan RM1,126 sebulan oleh Perkeso.

Bantuan Perkeso itu tidak mencukupi. Yuran perubatannya, susu diet istimewa, (Alpha Lipid) dan lampin memerlukan perbelanjaan lebih RM700 sebulan. Nadarajan pernah memohon kepada Jabatan Kebajikan tetapi tidak menerima sebarang maklum balas.

Nasib Nadarajan antara mereka yang mahu diketengahkan dalam kempen 1Ringgit 1Malaysia anjuran Yayasan Kebajikan Atlit Kebangsaaan.

"Kami seharusnya tidak dilupakan. Kami juga memerlukan bantuan. Kami juga berkorban untuk membawa kejayaan buat Malaysia.

"Ia adalah sukar untuk menyara keluarga dengan wang Perkeso semata-mata. Isteri saya tidak boleh bekerja kerana menjaga saya yang sakit," katanya yang memenangi emas acara 4x400m di Sukan Sea Jakarta 1997.

Mereka yang prihatin boleh menderma menerusi akaun Maybank Yakeb untuk kempen 1Ringgit 1Malaysia, 564847005696. Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi sms YAKEB1, YAKEB2, YAKEB5 atau YAKEB10 (RM1, RM2, RM5, RM10) ke 33898.

Tabung kutipan juga turut disediakan di pejabat NSTP di Jalan Riong, Kuala Lumpur selain pejabat cawangannya di seluruh negara begitu juga Bank Simpanan Nasional.

Anda boleh menonton kisah Nadarajan menerusi program BersamaMu-Wira, Anda Tetap di Hati di TV3 jam 9.30 malam ini.- BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment