Wednesday, November 25, 2009

Yakeb akan turut bantu Ishtiaq

http://www.yakeb.org.my/v2/images/stories/orgchart/amin.jpg


KUALA LUMPUR - Yayasan Atlet Kebangsaan (Yakeb) berkesempatan mengunjungi bekas pemain bola sepak kebangsaan, Santokh Singh dan bekas atlet olahraga kebangsaan, Ishtiaq Mubarak, semalam.

Menurut Pengurus Keahlian Yakeb, Aminuddin Mohd Nasir, kunjungan yang dilakukan terhadap kedua-dua atlet yang telah banyak berkorban untuk negara itu ialah untuk memberi motivasi dan melihat keadaan semasa mereka.

"Selain bertanya khabar, kami juga ingin mengetahui keadaan sebenar mereka dan melihat sumbangan yang boleh dihulurkan untuk meringankan beban mereka,' katanya di sini, semalam.

Jelasnya, selepas melawat kedua-dua atlet tersebut, Yakeb akan cuba sedaya upaya menyampaikan maklumat kepada rakan seperjuangan yang lain mengenai keadaan kesihatan kedua-dua bekas atlet kebangsaan itu.

"Apabila kita sudah mendapat maklumat terkini dan keadaan mereka sekarang, kami akan cuba hebahkan kepada rakan lain supaya mereka boleh meluangkan masa untuk melawat dan menghulurkan sumbangan.

"Kami juga berharap kunjungan terhadap kedua-dua bekas atlet kebangsaan itu akan memberikan motivasi buat mereka serta seluruh ahli keluarga," ujarnya.

Katanya, mereka akan berusaha memberi bantuan dari pelbagai aspek bagi membolehkan bekas atlet diberi layanan sepatutnya sebagai membalas jasa mereka sebelum ini.

"Sebagai contoh kami cuba untuk memindahkan Santokh dari wad kelas tiga ke wad kelas pertama sebelum dia tidak sedarkan diri, bagaimanapun atas nasihat doktor dia dikekalkan di wad tersebut dan kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Kami membuat lawatan bukan di atas dasar kewangan semata-mata tetapi melihat keadaan terkini mereka sebelum membincangkan jenis bantuan yang boleh dihulurkan dalam masa terdekat," katanya.

Pada lawatan itu, Yakeb turut mengunjungi seorang lagi bekas atlet kebangsaan, Hashim Abdul Rahman (lumba basikal) yang dirawat dekat hospital yang sama.

Selain Aminuddin antara bekas atlet yang turut serta dalam lawatan tersebut ialah bekas atlet bina badan, Datuk Malek Noor, Jalani Sidek (badminton), Shaharudin Jaffar (lumba basikal), Ramjit Nairulal (olahraga) dan Roswadi Abdul Rashid (angkat berat).

Rombongan Yakeb terlebih dahulu berkunjung ke kediaman bekas atlet lari berpagar, Ishtiaq di Hulu Klang yang dikhabarkan mengalami sakit belakang dan sengal badan.

Atlet yang pernah beraksi sebanyak tiga kali di Sukan Olimpik itu pada era 70an telah menjalani imbasan di Pusat Pakar Damansara untuk mengetahui lebih lanjut keadaan kesihatannya.

No comments:

Post a Comment