|
|
GENERASI hari ini mungkin lebih mengenali nama-nama seperti Azizulhasni Awang, Josiah Ng atau Rizal Tisin dan beberapa pelumba terdahulu iaitu Rosman Alwi dan Murugayan Kumaresan.
Biarpun begitu, adakah antara kita masih mengingati nama Allahyarham Daud Ibrahim, yang memenangi pingat emas dalam acara lumba basikal pada Sukan Asia 40 tahun lalu?
Melalui acara trek 1,600 meter lepas beramai-ramai, Daud berjaya mengharumkan nama Malaysia buat pertama kali dalam arena lumba basikal Asia, bersama-sama Datuk Ng Joo Ngan yang memenangi acara lebuh raya dan sejarah itu masih kekal sehingga hari ini untuk setidak-tidaknya sebelum Sukan Asia di Guangzhou membuka tirai.
Dilahirkan di Batu Pahat, Johor pada tahun 1947, beliau mula menggegarkan arena lumba basikal tempatan selepas muncul Juara Terbuka Johor dan Terbuka Melaka pada tahun 1967.
Dua tahun selepas itu, Daud mula mewakili negara Sukan SEAP di Rangoon (Yangon) pada tahun 1969 namun pulang dengan tangan kosong.
Walaupun tewas, kekalahan Daud sebenarnya ekoran kesilapan teknikal yang dilakukan oleh persatuan lumba basikal pada waktu itu, yang menyebabkan Daud dan rakan-rakannya tewas sebelum berjuang.
Bagaimanapun, Daud memilih waktu yang tepat untuk menonjolkan diri di kalangan peminat sukan negara, apabila meraih pingat emas Sukan Asia Bangkok pada tahun 1970 di samping turut memungut satu gangsa.
Tahun 1971 merupakan tahun paling cemerlang dalam karier Daud apabila membolot empat pingat emas pada Sukan Seap 1971 yang menyaksikan dia dianugerahkan Olahragawan Kebangsaan pada tahun yang sama.
Beliau terus menyumbang bakti kepada negara dalam acara basikal apabila turut memungut satu pingat perak Sukan SEAP 1973. Daud juga mewakili negara pada Sukan Olimpik Munich (1972) dan Sukan Komanwel yang dilangsungkan di New Zealand pada tahun 1974.
Sebagai mengenang jasanya itu, beliau diberikan penghormatan menyalakan obor Sukan SEA XXI di Stadium Nasional Bukit Jalil pada tahun 2001.
Rakan Allahyarham Daud, Shaharudin Jaffar yang pernah menjadi rakan sepasukan pada Sukan SEAP pada tahun 1969, mengakui Allahyarham mempunyai disiplin tinggi dan cukup komited ketika melakukan latihan.
''Sukar untuk jumpa mana-mana atlet yang mempunyai tahap komitmen seperti dirinya, dia cukup patuh kepada arahan jurulatih dan akan mengikut apa sahaja yang diarahkan.
''Malah, tiap-tiap hari dia akan tidur awal sebaik pukul 10 malam lagi bagi menjaga waktu tidur dan tahap kecergasannya.
''Sebelum pertandingan, sudah menjadi kebiasaan buat dirinya untuk tidak bercakap dengan sesiapa selama seminggu bagi mengekalkan fokus,'' kata Shaharudin, bekas Setiausaha Persekutuan Lumba Basikal Malaysia (PLBM) dan pemenang pingat emas pertama Malaysia dalam penyertaan antarabangsa pada tahun 1965.
Katanya, walaupun selepas bersara daripada dunia basikal, Allahyarham masih cintakan dunia basikal apabila mengambil keputusan melatih 15 atlet di Muar.
''Saya anggap kehilangannya ibarat satu kehilangan besar dalam dunia sukan lumba basikal tanah air, pelumba muda pada hari ini harus menjadikan dia sebagai contoh jika mahu berjaya di arena antarabangsa,'' ujarnya.
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
No comments:
Post a Comment