Monday, April 18, 2011

Ishtiaq pernah jadi kebanggaan Asia


ISHTIAQ sempat meluangkan masanya berbual mesra bersama atlet pelapis negara sebelum sesi latihan dimulakan di trek Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


NAMA Ishtiaq Mubarak sudah tidak asing lagi bagi peminat sukan olahraga tanahair, tambahan pula jaguh negara itu adalah antara bintang yang jarang diperoleh negara berikutan kejayaan gemilang yang pernah dilakar dalam acara 110 meter lari berpagar.

Beliau merupakan anak watan yang berjaya melangkah ke Sukan Olimpik sebanyak tiga kali iaitu pada 1968 di Mexico, 1972 di Munich dan yang paling manis adalah pada 1976 di Montreal.

Pada Temasya Olimpik 1976 itu Ishtiaq berjaya mara ke peringkat separuh akhir acara 110m lari berpagar iaitu peringkat paling tinggi buatnya. Malah sehingga kini masih belum ada lagi atlet olahraga tempatan yang mampu menyaingi pencapaian tersebut.

Bagaimanapun, sebelum melakar kejayaan tersebut, Ishtiaq telah melalui pelbagai cabaran yang cukup getir buatnya sebagai atlet olahraga.

Enam tahun sebelum ke Olimpik Montreal 1976, Ishtiaq terlibat dalam kemalangan sewaktu dalam perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur yang mengakibatkan pemandu kenderaan yang dinaikinya terbunuh, manakala dia pula cedera parah.

Doktor yang merawat Ishtiaq memberitahunya bahawa dia perlu melupakan karier sebagai atlet berikutan kecederaan serius pada tulang pinggul dan rahang muka akibat kemalangan itu.

Keadaan yang dialami Ishtiaq itu sudah cukup membuatnya hampir berputus asa, namun semangat sebagai seorang atlet yang ada dalam tubuhnya membuatkan Ishtiaq kembali bangkit untuk mencabar keupayaannya ketika itu.

Pada tahun 1971 Ishtiaq kembali beraksi dalam Sukan SEA di Kuala Lumpur dan berbekalkan semangat juang tinggi dia berjaya memperoleh pingat emas.

Selepas itu, langkahnya semakin pantas dan keinginannya juga semakin tinggi iaitu ingin menawan Olimpik pada tahun 1972 selepas kecundang pada 1968.

Bagaimanapun, faktor kecederaan menjadi penghalang utama Ishtiaq selepas melangkah kaki ke Olimpik Munich 1972.

''Saya amat kecewa ketika itu kerana jika tidak mengalami kecederaan sudah tentu saya mampu menyumbang sesuatu buat negara.

''Namun itu tidak berakhir dengan kegagalan kerana selepas itu saya mula mengumpul pengalaman yang ada untuk dijadikan sebagai rujukan pada masa akan datang.

''Malah, saya juga sempat menjalani latihan di Jerman sebelum ke Olimpik Montreal 1976 bersama dengan seorang jurulatih kebangsaan yang juga warga Jerman.

''Banyak yang saya belajar antaranya catatan masa saya juga dapat diperbaiki selain berupaya mengawal teknik-teknik semasa lompatan dan larian,'' kata Ishtiaq.

Peluang latihan di Jerman dapat dimanfaatkan dengan baik oleh Ishtiaq apabila berjaya mara ke saingan separuh akhir yang ketika itu dikuasai oleh jaguh dunia dari Amerika Syarikat.

Ishtiaq berupaya mencatat 14.27 saat dalam saringan kedua untuk layak ke separuh akhir, namun ketika pertandingan, dia mencatat 14.21s dan tersingkir.

Kecemerlangan itu membolehkan Ishtiaq dipilih untuk mewakili benua Asia dalam Kejohanan Piala Dunia pertama yang berlangsung di Jerman pada 1977.

Pada kejohanan tersebut Ishtiaq sekadar memperoleh tempat keenam dalam acara 110m lari berpagar.
Kini Ishtiaq yang telah mencecah usia 63 tahun, hanya mampu berkongsi pengalaman dan kemahiran yang ada sebagai jurulatih kepada atlet pelapis dalam acara 110m lari berpagar.

Kepada atlet olahraga yang sedia ada kini, Ishtiaq ada pesanan yang mahu disampaikan.
''Atlet yang sedia ada kini mempunyai semangat serta kualiti yang tinggi dan janganlah sia-siakan masa depan karier anda sebagai atlet olahraga kerana sumbangan anda kepada negara akan terus diingat oleh negara ini.
''Saya tetap berkeyakinan akan ada atlet olahraga mampu mencapai tahap yang saya perolehi di Olimpik Montreal.

''Selagi saya masih berkemampuan untuk melatih, saya akan terus berjuang bagi memastikan akan ada bintang-bintang baru yang mampu bersinar dan yang penting fokus pada apa yang dilakukan,'' jelas Ishtiaq.



Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment