Tuesday, February 7, 2012

‘Piala Thomas sejarah kita’


Cheah Soon Kit
Cheah Soon Kit
KEKALAHAN di tangan Jepun pada 2010 cukup menyedihkan dan peristiwa itu seharusnya menjadi pengajaran berguna buat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) namun apa yang mereka lakukan selain membuat kenyataan terdesak mengatakan Piala Thomas tidak penting.”
Kenyataan itu dibuat bekas pemain kebangsaan yang menjadi penentu kemenangan pasukan negara ketika menjulang Piala Thomas kali terakhir pada 1992, Cheah Soon Kit.

Soon Kit berkata, sebagai pemain badminton, mewakili negara dalam Piala Thomas cukup besar maknanya dan Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai tidak sepatutnya membuat kenyataan bercanggah dengan semangat kenegaraan yang sudah lama dibina setiap kali pemain beraksi di Piala Thomas.
“Mengapa hanya satu kejohanan iaitu Olimpik menjadi sasaran BAM, sepatutnya Piala Thomas juga menjadi sasaran besar badan itu kerana perebutan trofi berpasukan inilah yang mengharumkan nama negara,” kata Soon Kit yang beraksi sebanyak lapan kali pada Piala Thomas, menjulang kejuaraan sekali pada 1992 dan berada dalam skuad naib juara sebanyak empat kali sejak 1986 hingga 2000.

“Sepatutnya tragedi 2010 membuatkan BAM bangkit dengan perancangan lebih baik. Ketika itu kita ada Datuk Lee Chong Wei dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, cuma perlukan satu dua lagi pemain untuk dibentuk sebagai pencabar yang kuat mengapa masih gagal.

“Saya tidak tahu mengapa beliau boleh cakap Piala Thomas tidak penting. Kalau benar tidak penting, lebih baik jangan hantar pemain ke Sukan Sea, Komanwel dan Asia. Begitu juga dengan Kejohanan Remaja Dunia, jangan hantar jika hanya Olimpik yang penting.

“Apa akan jadi apabila Chong Wei sudah tiada, apakah BAM akan katakan semua kejohanan tidak penting semata-mata kerana kita tiada peluang untuk menang?” Sebagai bekas pemain, Soon Kit, 44, amat kecewa dengan BAM yang dianggap tidak mempunyai perancangan rapi.

“Sepatutnya tragedi 2010 menjadi ‘wake up call’ buat BAM. Mereka kata perlu realistik dengan ketiadaan pemain ketika ini dan akan cuba untuk saingan 2014, tak logik langsung.
“Bagi saya kalau 2010 sudah teruk dan skuad kali ini dianggap lebih teruk, sudah tentu 2014 kita mati.” Soon Kit yang bergandingan dengan Soo Beng Kiang menjadi pemutus pemenang pada final 1992 ketika skuad negara menundukkan Indonesia 3-2 di Stadium Negara.

Sementara Razif Sidek yang turut berada dalam skuad 1992 berkata, memang mudah untuk Chin Chai berkata sesuka hatinya bak kata pepatah ‘lidah tidak bertulang’.

“Apa yang Chin Chai tahu mengenai Piala Thomas, beliau tidak pernah bermain di peringkat itu malah tidak pernah mewakili negara. Sebab itu beliau senang-senang saja nak kata Piala Thomas tidak penting,” kata Razif yang beraksi di kejohanan itu sebanyak lapan kali sejak 1980-1994.

“Cuba beritahu saya siapa yang tidak mahu mewakili negara dalam Piala Thomas, mana ada pemain yang tidak memasang angan-angan beraksi di pentas sehebat ini.

“Malah peminat sukan ini juga baik kecil mahupun dewasa pernah memasang angan-angan untuk bermain di Piala Thomas. Inilah pentas terbaik membawa nama negara.

“Kalau benar Olimpik mengatasi segala-galanya, mengapa BAM masih mahu menghantar pemain ke Seluruh England. Kita juga sudah ada gelaran kejohanan itu.”



Oleh Mohd Hilmie hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my 

No comments:

Post a Comment