Wednesday, August 15, 2012

Punch Gunalan Perlu Diiktiraf Sebagai Legenda Sukan Negara - TPM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Kematian jaguh badminton negara Datuk Punch Gunalan pada Rabu menyentuh perasaan pemimpin negara, kenalan dan peminat mendiang.

Rata-rata mereka mengakui bahawa mendiang memberi sumbangan besar kepada negara khususnya menerusi sukan badminton.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata mendiang Gunalan banyak mengharumkan nama Malaysia melalui sukan badminton.

Beliau berkata mendiang bukan sahaja seorang wira negara tetapi perlu diingati sebagai seorang legenda.

"Punch Gunalan membawa banyak kemegahan dan kebanggaan kepada Malaysia. Wira tidak pernah mati, mereka bertukar menjadi legenda," katanya menerusi twitter pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berkata sumbangan berterusan yang diberikan Gunalan amat besar nilainya kepada negara dan ia tidak mampu dilakukan semua orang.

"Pemergian Gunalan adalah satu kehilangan besar buat warga sukan tanah air. Pihak MSN dan atlet mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang," katanya ketika dihubungi Bernama.

Antara sumbangan besar yang pernah diberikan oleh Gunalan ialah pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Komanwel di Edinburg, Scotland pada 1970 dan muncul juara beregu lelaki bergandingan dengan Ng Boon Bee pada kejohanan badminton All England pada 1971.

"Sumbangan yang diberikan oleh Gunalan kepada sukan negara tidak berhenti setakat itu apabila bersara pada 1975, beliau terus menyumbang pengalaman sebagai jurulatih negara dan kemudiannya menjawat jawatan tertinggi dalam Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) dari 2004 hingga 2008," katanya.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh pula berkata sebagai seorang atlet, mendiang adalah seorang pemain badminton yang disegani di kalangan rakan sepasukan mahupun lawannya.

"Saya mengenali mendiang semasa beliau menjadi ahli Majlis BAM dan mencadangkan kepada saya untuk merebut kerusi presiden (pada 2001) tetapi saya menolak. Namun, beliau masih mahu saya merebut jawatan tersebut," katanya.

Mohd Nadzmi berkata mendiang mempunyai pengetahuan luas dalam badminton memandangkan minatnya yang mendalam dalam sukan itu selain pernah menyandang beberapa jawatan penting dalam persatuan badminton di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

"Sumbangan beliau dalam dunia badminton adalah begitu dinamik selain memberikan idea-idea bernas bagaimana untuk meningkatkan prestasi skuad badminton negara," katanya.

Sementara itu, bekas pemain badminton Razif Sidek berkata hubungan beliau dengan Gunalan adalah terlalu akrab seperti adik beradik.

"Mendiang seorang yang peramah dan juga mempunyai buah fikiran yang bernas serta mempunyai perwatakan yang ceria," kata Razif, yang pernah menjadi anak didik mendiang sehingga berjaya meraih pingat pertama Malaysia di Sukan Olimpik Barcelona, Sepanyol pada 1992.

Razif berkata Gunalan juga seorang yang baik hati dan beliau tertarik dengan perwatakan mendiang dan ingin mencontohinya.

Gunalan meninggal dunia di Pusat Perubatan Sime Darby Subang Jaya dekat sini akibat kanser pundi hempedu pada kira-kira 6.20 pagi ini setelah tenat sejak dua minggu lepas.

Anak lelaki mendiang, Roshan Gunalan yang juga doktor ortopedik, berkata bapanya seorang yang tegas sebagai ketua keluarga.

"Kematian bapa adalah satu kehilangan besar bagi keluarga kami kerana beliau adalah seorang yang bapa yang baik," katanya.

Roshan Gunalan, 36, berkata bapanya sebelum ini menjalani rawatan kemoterapi dan tetap ceria bersama keluarga selain sempat melayan rakan-rakan dengan wajah senyuman walaupun ketika itu sakit.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment