Monday, December 1, 2014

Wanita Malaysia Muncul Pengadil Wanita Terbaik Asia 2014

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Pengadil wanita Rita Ghani melakarkan sejarah bola sepak negara apabila memenangi Anugerah Pengadil Wanita Terbaik Asia 2014 sempena Majlis Anugerah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Filipina, semalam.

Pengadil antarabangsa berusia 37 tahun itu berjaya mengatasi pemenang tahun lepas, Sachiko Yamagishi dari Jepun dan calon dari Thailand, Pannipar Kamnueng.

"Saya berasa amat gembira kerana tidak pernah terfikir bahawa saya akan memenangi anugerah ini. Sebenarnya, saya betul-betul terkejut dengan penghargaan ini," Rita dipetik sebagai berkata dalam laman web AFC, www.the-afc.com.

Anggota Jawatankuasa Eksekutif AFC, Sayyid Khalid Hamed Al Busaidi menyampaikan anugerah tersebut kepada Rita.

Rita juga berharap dapat mencapai impiannya untuk menjadi salah seorang pengadil untuk Kejohanan Piala Dunia Wanita FIFA 2015 di Kanada.

"Saya berharap anugerah seperti ini akan membawa saya lebih dekat untuk memenuhi impian itu," katanya.

Sebagai rekod, Rita terbabit dalam enam perlawanan iaitu tiga sebagai pengadil dan tiga sebagai pegawai keempat perlawanan pada Kejohanan Piala Asia Wanita AFC 2014 di Vietnam.

Pada kejohanan itu, Rita mengadili perlawanan separuh akhir antara Korea Selatan dan juara bertahan Australia.

Rita juga mengadili empat perlawanan dan bertindak sebagai pegawai keempat dalam dua perlawanan pada pusingan kelayakan Kejohanan Wanita Asia Bawah 16 Tahun 2015 tahun ini.

Selain itu, beliau juga menjadi pengadil dalam tiga perlawanan termasuk perlawanan penentuan tempat kesembilan pada Piala Algarve 2014 di Portugal, Mac lepas.

No comments:

Post a Comment