Monday, March 16, 2015

Halimah terima sumbangan Perkeso



MUAR – Bekas ratu pecut basikal negara, Halimah Mohd. Janis, 39, yang kini terlantar di rumah ibunya, di Parit Raja, dekat sini akibat kemala­ngan terharu apabila menerima sumbangan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kelmarin.

Dia yang memenangi pingat perak acara pecut basikal wanita pada Sukan SEA 1997 dan 2001 menerima cek berjumlah RM2,943.11 sebagai bayaran sebahagian gaji selama 43 hari selepas hospital memberikannya cuti sakit.

Pengurus Perkeso Muar, Re­dhuan Muda@Mohad Yatim berkata, pihaknya menyerahkan cek bagi faedah hilang upaya sementara selepas siasatan mendapati Halimah layak menerima bayaran itu.

“Hasil siasatan awal mendapati Halimah layak menerima bantuan itu kerana terlibat dalam kemalangan ketika pulang dari tempat kerja. Bantuan ini akan diberikan sepanjang dia bercuti sakit.
“Selain itu, kami akan memberi bantuan lain seperti lampin pakai buang, namun Halimah perlu membuat tuntutan dengan me­nyertakan resit pembelian,” katanya.

Halimah yang bertugas sebagai pengurus di sebuah restoran makanan segera kemalangan pada 7 Januari lalu ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bandar Baru Bangi, kira-kira pukul 2 pagi. 

Akibat kemalangan itu, dia patah tangan kanan dan kaki kiri serta mengalami pendarahan dalaman sehingga menyebabkannya tidak mampu bergerak dan terlantar.

“Halimah menjalani fisiote­rapi setiap hari, bagaimanapun ada masanya pesakit berdepan masalah seperti pengangkutan dan kos. 

“Berikutan itu, kami mahu membawanya ke Pusat Pemulihan Perkeso di Melaka kerana semua kelengkapan dan pakar ada di situ.

“Begitu juga tempat tinggal untuk kemudahan mereka. Dengan cara ini bukan sahaja akan menjimatkan belanja malah memudahkan pesakit,” katanya.


UTUSAN






No comments:

Post a Comment