Thursday, June 18, 2009

Nasib Alwi dapat perhatian menteri


Ahmad Shabery Cheek (dua dari kiri) berbual dengan Alwi Ahmad ketika melawat bekas jurulatih lumba basikal kebangsaan itu di rumahnya dekat Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR - Beliau pernah melahirkan jaguh basikal trek negara seperti Sopihardi Shukri di samping anaknya sendiri, Rosman Alwi.

Namun, sejak dua tahun lalu, hidupnya tidak seaktif dulu apabila hanya mampu terbaring sahaja akibat serangan strok kali kedua.

Malangnya sepanjang tempoh terlantar sakit itu, baru semalam Alwi Ahmad, 76, menerima kunjungan pertama daripada Menteri Belia dan Sukan yang benar-benar prihatin tentang nasib di samping mahu menghargai jasanya.

Bekas pelumba dan jurulatih negara itu kini antara bekas atlet yang bernasib baik mendapat perhatian menteri berbanding puluhan lagi yang menanti sinar yang sama.

Terima kasih kepada Institut Sukan Negara (ISN) yang begitu mengambil berat keadaan Pak Alwi sehingga terus sahaja mendapat perhatian menteri untuk melawatnya.

"Sejak ISN mengambil berat keadaan bapa saya, banyak bantuan yang kami terima termasuk daripada Yayasan Kebajikan Bekas Atlet (YAKEB) dan individu-indivivu yang murah hati memberikan sumbangan.

"Alhamdulillah sehingga ini, ISN menyumbang susu tepung istimewa manakala YAKEB menyumbang lampin pakai buang setiap bulan.

"Ia sedikit sebanyak mengurangkan beban kami sekeluarga untuk menjaga beliau yang sudah tidak boleh berjalan dan makan seperti orang lain," kata Rosman.

Semalam, Datuk Ahmad Shabery Cheek menyampaikan sumbangan ISN berupa katil dan pengalas badan untuk memberi lebih keselesaan kepada Pak Alwi.

"Kita bersedia menyalurkan apa jua bantuan lain yang diperlukan keluarga ini di masa akan datang," kata Ahmad Shabery selepas lawatan itu.

Bagi Rosman, kunjungan pertama daripada seorang Menteri Belia dan Sukan sudah cukup menceriakan.

Ini kerana katanya, bukan wang ringgit dan bantuan adalah segala-galanya buat Pak Alwi tetapi perhatian kerajaan dalam menghargai jasanya dalam sukan lumba basikal negara.

UTUSAN

No comments:

Post a Comment