EPLx Kosmo! Apa khabar Datuk?
Datuk Dr M Jegathesan Bagus, saya baru pulang dari Sukan SEA Laos.
Datuk antara yang berada di stadium ketika pasukan bola sepak Malaysia merangkul pingat emas di Vientiane.
Ya, sudah lama kita tidak merasakan keseronokan sebegitu. Kontinjen Malaysia diselimuti kegembiraan dan kepuasan. Dengar khabar kontinjen Thailand muncul juara tetapi bersedih kerana emas bola sepak terlepas daripada genggaman mereka.
Nampaknya bola sepak meninggalkan kesan mendalam.
Benar. Ini yang saya namakan faktor impak yang besar. Malah dalam olahraga sendiri, perlumbaan 100 meter lebih besar impaknya daripada 1,500m misalnya. Saya pernah menyebut dalam laporan saya selaku ketua kontinjen ke Sukan Olimpik di Athens bahawa kita harus membuat kajian mengenai kesan satu-satu sukan terhadap masyarakat.
Boleh Datuk jelaskan?
Renungkan bagaimana impaknya jika seorang anak Malaysia mara ke perlumbaan akhir 100m di Sukan Olimpik berbanding dengan kejayaan seorang atlet memenangi pingat dalam sukan lain. Jika bola sepak pula melayakkan diri ke Sukan Olimpik, tentunya kita akan berpesta di jalanan. Jadi ada sesetengah sukan yang harus diberi perangsang untuk maju di peringkat dunia tapi pada masa yang sama kita tidak boleh mengetepikan sukan teras seperti trek dan padang, gimnastik dan renang. Berlari, melompat dan melontar boleh diibaratkan sama pentingnya seperti membaca, menulis dan mengira. Kita harus mengkaji dan menilai faktor impak sesuatu sukan sebelum kita menetapkan hala tujunya. Bagaimana kita mengkaji impak jika kita memenangi pingat dalam acara yang kita perkenalkan berbanding kejayaan dalam satu acara yang diterima dan diiktiraf secara global? Saya juga percaya atlet tidak boleh dilayan sama rata. Klasifikasinya jelas, anda sama ada No 1, 2 atau 3. Sama ada anda menang atau kalah. Jadi No 1 harus diberi segala bentuk bantuan dan kemudahan berbanding atlet lain yang baru merangkak.
Kemenangan anak buah K. Rajagobal ke atas Vietnam dalam final Sukan SEA dinanti-nantikan, Datuk?
Sudah tentu. Dua dekad satu tempoh yang cukup panjang. Saya sudah banyak terbabit dalam Sukan SEA dalam pelbagai kapasiti dan sudah lama saya tidak merasakan bahangnya apabila pasukan bola sepak kita berjaya.
Jadi bagaimana Datuk melihat impak Liga Perdana England?
Ia berada di sekeliling kita. Kesannya terhadap masyarakat, khususnya penggemar sukan dan bola sepak, cukup besar. Dengan arus teknologi, klik saja dan kita boleh lihat dan kaji apa yang berlaku di tempat lain.
Adakah Datuk penggemar EPL?
Saya mengikuti perlawanan EPL tetapi tidak taksub dengan mana-mana pasukan. Barangkali ini disebabkan saya sendiri bekas atlet berprestasi tinggi dan menikmati pengalaman beraksi di Sukan Olimpik.
Bagaimana pula dengan ahli keluarga Datuk?
Dulu mendiang bapa saya (N.M. Vasagam) seorang pengadil bertaraf kebangsaan. Dia adalah setiausaha pengasas Majlis Olimpik Malaysia yang dulunya dikenali sebagai FMOC dan juga KOAM. Zaman dulu jumlah pegawai sukan cukup kecil. Biasanya pengadil bola sepak juga boleh menjalankan tugas sebagai pegawai olahraga dan hoki. Tapi saya dan saudara-saudara saya yang lebih tua lebih cenderung kepada olahraga. Bola sepak lebih banyak dibincangkan berasaskan laporan akhbar ketika itu.
Bagaimana Datuk melihat kemajuan teknologi dalam membangunkan sukan?
Televisyen dan internet mengubah cara kita berfikir. Televisyen hanya muncul dalam hidup kita pada lewat 1960-an. Kini setiap pergerakan atlet dan pemain boleh diperhalusi dan diperincikan. Setiap jaringan dan umpanan serta larian boleh diulang tayang berpuluh-puluh kali menjadikan penontonnya puas. Pada masa yang sama mereka sudah biasa dengan standard permainan yang tinggi yang dipamerkan di Eropah misalnya. Jadi kayu pengukur bagi semua cukup jelas. Kita tidak boleh lari daripada hakikat ini. Apabila pemain kita sendiri terdedah dengan perkembangan ini, maka cabarannya ialah meniru dan meningkatkan prestasi mereka.
Siapakah personaliti bola sepak yang Datuk pernah temui secara bersemuka?
Pele dan Franz Beckenbauer. Mereka biasa diundang untuk majlis Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan FIFA.
Terima kasih, Datuk.
Kembali.
Biodata
Datuk Dr Jegathesan Manickavasagam
Jawatan dalam sukan: Timbalan Presiden, Majlis Olimpik Malaysia (MOM)
Tarikh lahir: 2 November, 1943
Keluarga: Isteri Datin Lee Hong dan tiga anak - Ashelee, Shirene dan Nicky.
Pencapaian: Pingat perak 4x400m Sukan SEAP 1959 SEAP, pingat emas 400m (48.3s), 200m (21.5s) dan 4x100m Sukan SEAP 1961; pingat emas 100m, 200m dan 4x100m Sukan Asia 1962; separuh akhir 200m Sukan Olimpik Tokyo 1964; pingat emas 100m, 200m dan 4x100m Sukan Asia 1966; separuh akhir 200m Sukan Olimpik Mexico 1968.
Perkhidmatan kerajaan: Ketua patologi HKL (1985-88); Pengarah Institut Kajian Perubatan (IMR) (1988-93); Timbalan Ketua Pengarah (kajian dan sokongan teknikal) Kementerian Kesihatan (1993-98); Penasihat Perubatan Majlis Kajian dan Pembangunan Kesihatan UNDP di Geneva;
Bro cam mane saya nak contact m jegathesan ni ye?
ReplyDelete