Thursday, January 7, 2010

Datuk Seri Dr Ibrahim Saad



[Image: vvip02.jpg][EPLx KOSMO! Apa khabar, Datuk Seri?

Datuk Seri Dr Ibrahim Saad Alhamdulillah, sihat.

Terima kasih Datuk Seri kerana meluangkan masa untuk interbiu ini. Bagaimana Datuk Seri melihat kemenangan pasukan Bawah 23 kebangsaan dalam Sukan SEA di Laos baru-baru ini?

Syabas saya ucapkan kepada K. Rajagobal dan anak buahnya. Pujian harus diberikan kepada mereka. Walaupun Sukan SEA dianggap pentas paling rendah untuk kita meraih kejayaan, penantian 20 tahun yang dinoktahkan harus menjadi titik permulaan yang baru buat bola sepak Malaysia.


Kalau kita kaji latar belakang pasukan ini, tulang belakangnya dibentuk oleh beberapa anak buah Rajagobal yang layak ke Kejohanan Bawah 20 Asia di India pada 2006. Pasukan itu pula adalah generasi pertama yang bernaung di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi perjanjian di antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). KBS ketika itu diterajui oleh Datuk Seri Azalina Othman Said dan MSN diwakili ketua pengarahnya, Datuk Zolkples Embong. Menerusi langkah radikal ini, pada dasarnya Harimau Muda ketika itu ditaja sepenuhnya oleh kerajaan. Segala bentuk bantuan, sama ada kewangan, sains sukan dan tajaan program latihan dihulurkan oleh MSN, manakala FAM mengurus dari segi teknikal. Proses ini akhirnya berkesudahan dengan pingat emas di Vientiane.

Datuk Seri tidak terbabit pada perayaan di Laos?

Saya bukan lagi Setiausaha Agung FAM. Tapi setidak-tidaknya bagi mereka yang mengkaji sejarah dan latar belakang pembentukan pasukan ini, pembabitan di balik tabir beberapa individu yang tidak lagi dalam pentadbiran FAM tidak harus dinafikan. Ketika itu juga saya masih ingat kecaman yang ditujukan kepada FAM atas keputusan menyerahkan Harimau Muda kepada kerajaan. Jika kita toleh ke belakang, ia keputusan yang tepat.

Pasukan Bawah 20 Rajagobal satu ketika menjalani latihan di Carrington, gelanggang latihan Manchester United, bukan begitu, Datuk Seri?

Benar. Ia sebahagian daripada proses pembelajaran bagi mereka. Kebetulan Manchester United pasukan kegemaran saya sejak di bangku sekolah.

Kenapa United, Datuk Seri?

Disebabkan tradisi dan sejarah United yang bangkit daripada tragedi di Munich pada 1958. Saya masih ingat apabila United menjuarai Piala Eropah pada 1968, perlawanan itu disiarkan secara tertunda di Malaysia beberapa minggu kemudian. Sebagai pelajar universiti, kami menonton perlawanan secara beramai-ramai di common room (bilik televisyen). Maklumlah, ketika itu mana ada Internet, telefon bimbit dan televisyen satelit. Segala-galanya bergerak dengan perlahan. Peminat bola sepak tekun dan sabar mengikuti perkembangan menerusi media yang ada, iaitu majalah dan akhbar dari England. Itupun ia diimport dan dibawa beberapa bulan lewat daripada tarikh terbitan. Kalau final Piala FA diadakan pada Mei, hanya pada Ogos atau September baru gambar dan laporan perlawanan dibaca. Perlawanan liga Divisyen Satu pula disiarkan semusim atau dua musim lewat. Saya melanggan majalah Shoot! di samping berpeluang menelaah akhbar Inggeris the Times di sekolah.

Datuk Seri aktif sebagai pemain?

Di sekolah saya terpilih sebagai penjaga gol. Lazimnya waktu dulu, pemain dipilih berdasarkan kepantasan dan ketinggian. Disebabkan ketinggian saya, saya terpilih menjaga gawang. Tapi tidak sampai ke peringkat daerah atau yang lebih tinggi.

Siapa pemain kegemaran Datuk Seri?

Kalau zaman 1960-an, sudah tentu tiga serangkai George Best, Denis Law dan Bobby Charlton yang digelar Holy Trinity. Mereka sukar digugat. Best pakar gelecek, Law bijak mencium peluang manakala Charlton seorang pemain tengah bercorak menyerang yang bertaraf dunia.

Ketika ini, siapa yang meniti di bibir Datuk Seri?

Ryan Giggs. Bagi saya, dia simbol pemain yang setia, berdisiplin tinggi, tidak mengundang kontroversi dan tidak mudah patah semangat. Malangnya seperti juga Best, Giggs tidak berpeluang beraksi dalam Piala Dunia.

Sudah tentu Datuk Seri pernah menyaksikan perlawanan di Old Trafford?

Ada beberapa kali, jika saya singgah di London, saya menaiki keretapi atau bas untuk ke Manchester. Saya ke sana pada awalnya sebagai pelancong dan kemudiannya sebagai wakil FAM untuk menyaksikan selok-belok latihan di Carrington.

Datuk Seri pernah ke Stadium Wembley?

Beberapa kali juga, termasuk beberapa perlawanan sebelum ia dirobohkan untuk mendirikan stadium yang baru.

Dalam ramai-ramai personaliti yang ditemui, siapa antara yang kekal segar dalam ingatan?

Bekas penyerang Cameroon, Roger Milla, yang saya temui pada Piala Dunia di Perancis pada 1998. Juga Bobby Charlton, seorang duta United yang hebat. Alex Ferguson juga seorang yang berhemah, tidak seperti yang digambarkan dalam media. Begitu juga Roy Keane, seorang lelaki budiman yang sopan, sepertimana David Beckham.

Terima kasih Datuk Seri.
Kembali


BIODATA
DATUK SERI DR IBRAHIM SAAD
Tarikh lahir: 3 Ogos, 1946 (Bukit Mertajam)
Keluarga: Isteri Datin Seri Zainab Abdul Kader, lima anak
Jawatan dalam sukan: Pengerusi Panel Penasihat Sukan (2005), Pengerusi AsiaKomm Majlis Sukan Negara (MSN), Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 1998-2005, Setiausaha Agung FAM (2005-2007), Naib Presiden MOM 2007-2009.

EPLx

No comments:

Post a Comment