Monday, November 7, 2011

TPM ucap tahniah buat Nicol, jaguh badminton

PUTRAJAYA - Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengucapkan tahniah kepada Datuk Nicol David, dan tiga pemain badminton remaja, Zulfadli Zulkifli, Nelson Heg serta Teo Ee Yi atas kejayaan yang dilakar di Belanda dan Taiwan, kelmarin.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, kejayaan Nicol amat membanggakan apabila berjaya melakar sejarah baru skuasy wanita dunia dengan merangkul kejuaraan kali keenam, sekal gus memadam rekod milik mentornya, Sarah Fitz-Gerald dari Australia yang sebelum ini memegang lima gelaran.

''Jelas kejuaraan yang diperolehi beliau dalam masa 29 minit menewaskan pilihan kedua, Jenny Duncalf dari England mempamer kewibawaan Datuk Nicol yang tiada tolok bandingannya di dalam dunia sukan skuasy," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Muhyiddin pada masa yang sama turut mengucapkan tahniah kepada jaguh badminton negara, Zulfadli dan beregu Nelson-Ee Yi yang merangkul kejuaraan berganda perseorangan dan beregu lelaki Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Taiwan.

"Syabas dan jutaan tahniah diucapkan kepada Zulfadli kerana telah mengharumkan nama Malaysia dan mencipta sejarah apabila muncul sebagai pemain Malaysia pertama menjuarai acara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Remaja Dunia.

"Tahniah juga diucapkan kepada pasangan beregu Nelson Heg-Teo Ee Yi yang memberi kejuaraan berganda kepada pasukan badminton Malaysia," katanya lagi.
Muhyiddin berkata, beliau berdoa agar kejayaan mereka menjadi pencetus kepada lebih banyak kejayaan yang bakal dicipta atlet negara dalam mana-mana pertandingan yang disertai.

Beliau yakin rakyat Malaysia berbangga dengan kejayaan yang dimiliki oleh wira dan wirawati sukan negara.
"Tentunya tanpa usaha gigih dan latihan berterusan, kecekalan jiwa serta kesabaran yang terpaksa dilalui oleh jaguh-jaguh sukan ini, kemenangan diperolehi tidak mudah dicapai.

"Tidak diupakan juga kejuaraan mereka berkat dorongan serta doa dari ahli keluarga, para jurulatih, pengurus-pengurus pasukan dan semestinya semua peminat sukan negara," katanya.



UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment