Monday, November 7, 2011

Zulfadli pengganti Chong Wei


ZULFADLI akan menamatkan karie selaku pemain remaja pada tahun ini.


JUARA remaja dunia, juara remaja Asia, juara Sukan Komanwel Remaja dan juara remaja kebangsaan.
Itulah pencapaian bintang badminton muda negara, Zulfadli Zulkifli yang dilakarnya sepanjang tahun ini.
Simboliknya, kesemua kejayaan tersebut dilakar ketika dia bakal menamatkan karier selaku pemain remaja pada tahun ini.

Ini kerana, usia Zulfadli bakal menjangkau 19 tahun pada tahun depan.
Berdasarkan pencapaian itu, dia kini disebut-sebut sebagai calon paling sesuai bagi menggantikan tempat jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei andai dia bersara kelak.
Bagaimanapun, bagi Zulfadli yang bernaung di bawah Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC), dia tidak mahu terburu-buru untuk memikirkan sasaran itu.

Sebaliknya, dia meletakkan sasaran dua hingga tiga tahun lagi untuk menggalas cabaran sebagai pemain No. 1 negara di pentas antarabangsa kerana masih banyak perlu diperbaiki terutama dalam corak permainannya.
"Saya tipu kalau saya katakan saya langsung tidak memasang impian untuk menjadi pemain No. 1 negara. Mana-mana pemain sekalipun pasti memikirkan perkara yang sama seperti saya.

"Namun, bukan mudah sebenarnya untuk bergelar pemain No. 1 negara. Banyak perkara yang perlu diperbaikinya terutama dalam corak permainan. Saya perlu bersedia dari semua aspek.
"Dalam tempoh terdekat ini, memang sukar untuk saya untuk menggalas cabaran sebagai pemain No. 1 negara tetapi saya meletakkan sasaran selama dua hingga tiga tahun lagi daripada sekarang," kata Zulfadli ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.


Kelmarin, Zulfadli mencipta sejarah baharu dalam arena sukan badminton tanah air apabila menjadi pemain Malaysia pertama muncul selaku juara pada Kejohanan Badminton Dunia 2011 di Taiwan.
Malah, dia turut membantu skuad badminton negara muncul juara dalam acara berpasukan campuran pada kejohanan yang sama.

Sebelum itu, dia turut mencipta sejarah apabila merangkul kejuaraan pada Kejohanan Badminton Asia 2011 di India Julai lalu sebelum memenangi pingat pada temasya Sukan Komanwel Remaja di United Kingdom, September lalu.

"Alhamdulillah, segala usaha serta kerja keras saya selama memang berbaloi dengan muncul juara dalam kejohanan-kejohanan besar.

"Malah, yang paling menarik, kesemua kejuaraan dalam kejohanan besar saya capai pada tahun ini. Ia telah menutup karier saya sebagai pemain remaja dengan pencapaian yang membanggakan," jelas Zulfadli.
Zulfadli bakal menggalas cabaran negara pada Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Sandakan 2011 yang bakal bermula pada 22 hingga 27 November ini sebelum menghadapi Grand Prix (GP) Terbuka Macau tiga hari kemudian.

Dia bersama barisan pemain badminton remaja negara negara yang lain telahpun selamat tiba di tanah air dari Taiwan semalam.


Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

2 comments:

  1. pada pendapat saya Zulfadli adalah pemain yang baik tetapi tidak sebanyak seperti Chong Wei, beliau jelas lebih baik, tetapi saya berfikir bahawa Zulfadli akan melakukan kerja yang baik, saya akan pergi untuk membaca satu artikel di Zulfadli sebenarnya di Hostpph.com, ia kedengaran menarik

    ReplyDelete
  2. Kenapa tak terpilih mewakili Malaysia dalam piala Thomas 2014 ni

    ReplyDelete