Oleh Ahmad Khawari Isa
ahmadkhawari@bharian.com.my
NICOL dan Chong Wei (gambar kecil) punya reputasi jagoan yang digeruni di kancah antarabangsa. |
MSN atur langkah dokumentasi 'formula' kejayaan atlit gegar dunia
TIGA nama besar sukan negara - Lee Chong Wei, Nicol David dan Shalin Zulkifli - terbukti punya reputasi gemilang selaku jagoan yang digeruni di kancah pertentangan antarabangsa.
Lantas, Majlis Sukan Negara (MSN) kini mengatur langkah untuk mendokumentasikan ‘formula’ yang jadi landasan untuk ketiga-tiganya menggegar di pentas dunia.
“Ketiga-tiga atlit ini memang nama besar di peringkat dunia. Kerana itu, MSN mahu pastikan segala kaedah dan formula yang membantu mereka sampai ke tahap itu diperoleh untuk kegunaan masa depan.
“Ia termasuk menghimpunkan maklumat berkaitan semua aspek persiapan dan prestasi supaya kita nanti ada landasan dan asas buat melahirkan atlit muda yang mampu mencapai tahap sebegitu,” kata Pengarah Cawangan Elit MSN, Ariffin Ghani.
Untuk melaksanakan usaha itu, MSN akan bekerjasama dengan Institut Sukan Negara (ISN) serta persatuan sukan terbabit.
“Memang diakui, maklumat diperolehi nanti tidak akan 100 peratus menjamin penghasilan juara seperti mereka. Tetapi maklumat diperolehi nanti akan mampu memudahkan tugas kita,” kata Ariffin.
Pendekatan itu jelas positif kerana di sebalik hakikat negara pernah menghasilkan jaguh sukan di pentas tertinggi, tiada formula tersedia untuk cuba mengisi kekosongan sebaik mereka mengundurkan diri.
“Ia sudah bermula dengan badminton dengan kami minta BAM (Persatuan Badminton Malaysia) membantu mengumpulkan maklumat berguna daripada jurulatih seperti Misbun (Sidek) yang membimbing Chong Wei.
“Saya percaya maklumat diperolehi akan dapat membantu pemain-pemain pelapis negara yang ketika ini jelas berdepan kesukaran untuk cuba mencapai tahap lebih membanggakan.
“Idea ini juga sudah diketengahkan untuk perhatian SRAM (Persatuan Skuasy Malaysia). Malah ianya akan diperluaskan kepada persatuan sukan kebangsaan lain yang memiliki atlit berkualiti,” katanya.
No comments:
Post a Comment