Tuesday, July 28, 2009

Joo Pong latih guna basikal buruk

Oleh Harris Rajahdin
harajah@bharian.com.my


JOO Pong masih ingat basikal Carlton pencetus kerjaya gemilang lumba basikal selama 12 tahun.

Ditimpa nahas jalan raya ketika sesi latihan ke Sukan Olimpik Tokyo 1964

SUKAR untuk dipercayai jaguh lumba basikal suatu ketika dulu, Ng Joo Pong sejak dulu hingga sekarang, tidak pernah memiliki basikal yang boleh dibanggakan sehingga kini.

“Sehingga sekarang saya tidak pernah memiliki basikal yang bagus. Harga sebuah basikal yang baik adalah dalam lingkungan RM3,000 ke RM5,000.

“Basikal pertama yang saya gunakan adalah dibuat daripada besi buruk ketika saya bermula pada usia 12 tahun. Kemudian saya guna basikal Carlton berharga RM270,” katanya pada satu sesi temujanji khas di Velodrom Cheras, baru-baru ini.

Joo Pong, 53, abang kepada jurulatih kebangsaan, Joo Ngan masih ingat basikal Carlton itu yang menjadi pencetus kepada kerjaya gemilang dalam lumba basikal selama 12 tahun, bermula dengan kejayaan menjadi pemenang pingat pertama buat negara dalam Kejohanan Asia di Kuala Lumpur pada 1963.

“Pada 1963, saya menyertai perlumbaan terbuka dan sekitar Februari, saya menyertai kejohanan terbuka Malaya dan menang emas ujian masa 1 kilometer dan perak 5 km.

“Saya mengalahkan N A Rusli dalam 1 km dan dia kemudian mengatasi saya dalam 2 km. Dia kemudian mengajak saya untuk berlatih bersama-sama. Ketika itu saya tidak mengetahui apa-apa mengenai lumba basikal.

“Selepas enam bulan, saya berjaya mendapat gangsa dalam ujian masa 1 km, pingat pertama buat Malaya dan emas dalam acara berpasukan,” katanya yang kemudian layak ke Sukan Olimpik 1964 di Tokyo.

Mereka yang berminat membantu Joo Pong yang mengalami kemalangan jalan raya dan patah tulang rahang ketika berlatih dalam usaha layak ke Olimpik 1968, boleh menaip YAKEB1 untuk RM1, YAKEB2 untuk RM2, YAKEB5 untuk RM5 dan YAKEB10 untuk RM10 dan hantar kepada 33898. Setiap derma dikenakan caj 50 sen kepada pengirim.

Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi akaun Tabung Yayasan KebajikanAtlit Kebangsaan bernombor, 5648 4700 5696 (Maybank Berhad) atau menghubungi Yakeb di talian 03-89964841/ 4844 atau melayari laman web www.yakeb.org.my.

Penonton boleh menyaksikan episod khas mengenai kehidupan Joo Pong yang akan disiarkan dalam rancangan BersamaMu-Wira Sukan, Anda Tetap Di Hati di TV3 pada jam 9.30 malam.

No comments: