Monday, May 18, 2015

Nicol rangkul Anugerah Perdana TYT Pulau Pinang


BUTTERWORTH, 18 Mei (Bernama) -- Ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David menjulang Anugerah Perdana TYT Pulau Pinang mengulangi pencapaian cemerlang beliau selama tujuh musim sejak 2004.

Nicol yang turut dinobat sebagai Olahragawati negeri 2014 tidak dapat hadir menerima anugerah itu yang disampaikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas pada majlis Anugerah Sukan di Hotel The Light malam tadi.

Nicol yang baru menamatkan cabaran separuh akhir Terbuka British di Hull, England Sabtu lepas, diwakili bapanya Desmond David.

Penerjun negara Ooi Tze Liang muncul Olahragawan baharu Pulau Pinang berdasarkan kejayaannya melakar sejarah buat negara dengan membawa pulang emas pertama dalam acara terjun lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow tahun lepas.

Atlet berusia 22 tahun itu diwakili bapanya Ooi Hong Cherng, 57, kerana sedang menjalani latihan persediaan di China sempena Sukan SEA bulan depan.

Nicol dan Ooi masing-masing menerima piala pusingan, piala iringan, sijil penghargaan dan wang tunai berjumlah RM3,000.

Sementara itu, dua atlet muda dari sukan karate Ooi San Hong, 15, dan skuasy Nur Aliah Izzati Muhammad Anis, 15, dianugerahkan Olahragawan dan Olahragawati Harapan 2014.

Ooi meraih pingat gangsa menerusi penampilan sulung beliau dalam Kejohanan Karate Asia ke-14 tahun lepas manakala Nur Aliah Izzati meraih pingat perak dalam Kejohanan Skuasy Junior Asia di Iran.

Mereka berdua membawa pulang piala iringan, piala pusingan, sijil penghargaan dan wang tunai berjumlah RM2,000.

Skuad Karate Do (Kata) muncul pasukan lelaki terbaik selepas menampilkan aksi membanggakan dengan meraih emas dalam kejohanan South East-Asian Karate (SEAKF) yang ketiga di Vietnam tahun lepas.

Sementara pasukan Skuasy dibarisi Nicol, Loo Wee Wern dan Vanessa Raj menjadi pasukan wanita terbaik menerusi pencapaian mereka dalam menggondol emas semasa Sukan Asia Incheon di Korea Selatan yang lepas.

Pemenang anugerah berkenaan membawa pulang piala pusingan, piala iringan, sijil penghargaan dan wang tunai berjumlah RM2,500.