Tuesday, February 24, 2009

Muzium sukan bakal didirikan

Oleh Meor Hisham Zulkifli
sham@bharian.com.my




Perlu kumpul barangan lama seperti jersi Mokhtar Dahari: Ismail Sabri

MUZIUM untuk sukan negara akan didirikan di Kota Sukan Bukit Jalil sebaik segala persiapan berjaya diatur oleh kumpulan petugas khas yang diketuai Pengerusi Panel Penasihat Sukan, Datuk Wira Mazlan Ahmad.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Mazlan yang akan turut dibantu beberapa pegawai serta profesor akan melakukan kajian serta mengumpul segala bahan berkaitan sejarah sukan untuk diarkibkan di muzium itu.


“Banyak bahan sejarah berkaitan sukan perlu dihimpunkan dan ia mungkin mengambil masa yang agak lama. Selain itu, beberapa faktor turut perlu dikaji termasuk lokasi muzium berkenaan,” katanya di Bukit Jalil semalam.

Ismail Sabri menjangkakan, muzium itu mungkin mengambil masa yang agak lama untuk didirikan kerana banyak sejarah yang perlu dihimpunkan oleh kumpulan petugas berkenaan.

“Kita tidak boleh melakukannya secara tergesa-gesa. Kita perlu mengumpulkan segala barangan lama seperti koleksi jersi legenda bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari.

“Saya juga dimaklumkan, Sultan Selangor, Tuanku Sharafuddin, juga mempunyai banyak koleksi barangan sukan,” katanya yang menegaskan, muzium berkenaan akan menjadi simbol kegemilangan sukan negara di Kota Sukan Bukit Jalil.

Sementara itu, hasrat mewujudkan Kota Sukan di Kompleks Sukan Bukit Jalil bakal direalisasikan bermula dengan penganjuran Pameran Sukan dan Dagangan Antarabangsa yang bakal diadakan pada 26 hingga 28 Jun depan.

Ismail Sabri, berkata pameran anjuran Yayasan Kebajikan Atlit Kebangsaan (Yakeb) itu bakal menjadi pemangkin untuk merangsang pembangunan di situ seperti yang dicadangkan ketika Konvensyen Sukan Kebangsaan.

“Matlamat kita adalah menjadikan kawasan ini bukan saja gelanggang sukan tetapi nadi pengeluaran, jualan dan pengedaran barangan sukan,” katanya selepas melancarkan pameran itu.

Lebih 20 syarikat dijangka menyertai pameran itu termasuk pengeluar barangan sukan dari China dan Taiwan yang sudah pun mengesahkan penyertaan mereka. Sebahagian keuntungan pameran yang dikendalikan syarikat swasta itu, akan disalurkan kepada Yakeb.

Berita Harian

No comments: