Wednesday, May 13, 2009

Misbun insan unik, istimewa




















SIAPA lagi kalau bukan Datuk Misbun Sidek yang bertanggungjawab mencungkil bakat pemain Datuk Lee Chong Wei sehingga menjadi pemain badminton nombor satu dunia pada ketika ini.

Misbun yang tidak asing dalam dunia badminton, mula menghidu bakat Chong Wei ketika pemain itu berusia 17 tahun.

Berkat kesabaran Misbun, akhirnya menyaksikan Chong Wei mula dikenali daripada pemain biasa kepada bertaraf dunia, malah kejayaannya membawa pulang pingat perak Sukan Olimpik Beijing mengesahkannya selaku pemain terbaik negara buat masa ini.

Penglibatan Misbun dalam dunia badminton bukan setakat jurulatih tetapi beliau juga amat dikenali sebagai pemain utama negara lebih 20 tahun lalu.

Misbun, selaku anak sulung dalam sejarah legenda badminton negara - keluarga Allahyarham Datuk Sidek Abdullah Kamar – mula melangkah ke era antarabangsa sekitar 1980-an.

Antara rentetan kejayaan Misbun di arena antarabangsa termasuklah naib juara Piala Dunia 1982 dan Seluruh England pada tahun 1986. Misbun dan rakan sepasukan juga pernah muncul naib juara Piala Thomas 1988 manakala 2002 menyaksikan Misbun mencapai kemuncak karier selepas terpilih sebagai jurulatih perseorangan skuad badminton negara.

Dalam banyak anugerah sukan yang diterimanya, paling bermakna buat Misbun ialah apabila dinobatkan selaku Jurulatih Terbaik 2008, yang dianggap satu penghormatan besar kepadanya.

Apa yang menarik tentang Misbun ialah keupayaan beliau mengawal perasaan ketika di bahunya memikul tanggungjawab besar di Olimpik tatkala isterinya berdepan dengan masalah kesihatan.

Dengan semangat dedikasi sedemikian rupa, tidak hairanlah pemain-pemain di bawah asuhannya mahu menghadiahkannya lebih banyak kemenangan.

– Edleen Ismail adalah penyampai sukan SportCenter di ESPN

Utusan Malaysia



Nama sebenar beliau ialah Mohamed Misbun Bin Dato’ Sidek dilahirkan pada 17 Februari 1960 di Banting, Selangor. Misbun Haji Sidek merupakan pemain badminton pertama di negara ini yang mencapai taraf antarabangsa ketika berusia 24 tahun. Sepanjang penglibatan beliau dalam dunia badminton beliau telah menunjukkan komitmen yang penuh dedikasi sehingga telah dikurniakan pingat kebesaran BSD, AMP, AMN, PJK. Jawatan yang dipegang oleh beliau sepanjang penglibatan di dalam dunia badminton ialah sebagai Ketua Jurulatih Kelab Badminton Nusa Mahsuri (Mulai 1996 hingga 31 Disember 2002), Penasihat Kelab Badminton Nusa Mahsuri (Mulai 1 Januari hingga sekarang), Ketua Jurulatih Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (Mulai 1 Januari 2003 hingga 31 Disember 2004) dan Jurulatih Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (Mulai 1 Januari 2005 hingga sekarang).



No comments: