Wednesday, September 19, 2012

Yakeb Salur Bantuan Kepada Datuk M. Chandran Dan D. Nadarajan

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) akan menanggung sepenuhnya kos rawatan dan rawatan susulan kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan Datuk M Chandran yang baharu pulih daripada serangan angin ahmar.

Yakeb, dalam satu kenyataan Rabu, berkata Chandran yang diserang angin ahmar Julai lepas, masih dalam keadaan lemah serta memerlukan bantuan kerusi roda untuk bergerak dan kini menjalani rawatan fisioterapi seminggu sekali di Hospital Besar Kuala Lumpur.

Beberapa bekas pemain bola sepak seperti Tan Sri Abdul Ghani Minhat, Reduan Abdullah, Datuk Khaidir Buyong, Zulkifli Norbit dan Kamarulzaman Yussoff menziarah beliau di kediamannya di Ampang Jaya, semalam.

"Saya sebenarnya terkejut, ia satu perasaan yang tidak dapat saya gambarkan apabila menerima lawatan daripada rakan-rakan yang sudah lama tidak bertemu, gembira dan tersentuh apabila mendapat tahu bahawa mereka mengambil tahu tentang keadaan saya.

"Tan Sri (Ghani) seperti biasa suka bergurau dan kenakan saya. Zulkifli pernah main bersama saya, Khaidir pernah dilatih saya, kami berborak, bercerita tentang kisah-kisah lama, ia cukup menyeronokkan apabila dapat berjumpa seperti ini, mengembalikan nostalgia silam," kata Chandran.

No comments: