Thursday, October 24, 2013

Boon Huat dianugerah pingat BCM

MELAKA - Keringat dan bakti yang dicurahkan bekas penyerang skuad hoki kebangsaan, mendiang Chua Boon Huat mendapat pengiktirafan apabila dia dianugerahkan pingat Bintang Cemerlang Melaka (BCM).

Boon Huat adalah antara 432 penerima darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran sempena majlis penganugerahan Hari Kelahiran Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob Ke-75 sesi ketiga di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, semalam.

Boon Huat, 33, terbunuh dalam nahas jalan raya melibatkan kereta yang dipandunya dengan sebuah lori di Kilometer 10.4, Lebuh Raya Damansara-Puchong, Petaling Jaya pada awal pagi 1 Ogos lalu.
Pada istiadat tersebut, abangnya, Alif Chua Abdullah mewakili mendiang bagi menerima pingat itu daripada Mohd. Khalil.

Yang turut hadir isteri Yang Dipertua Negeri, Toh Puan Zurina Kassim; Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan isteri, Datin Seri Fadilah Abdullah, Exco kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ketua-ketua jabatan.

Alif ketika ditemui berkata, beliau mewakili keluarganya mengucapkan terima kasih atas penganugerahan pingat BCM kepada mendiang adiknya, Boon Huat.

''Bagi pihak mendiang, anugerah yang diberikan amat dihargai kerana kerajaan negeri menghargai jasa dan pengorbanan adik saya ketika menyarung jersi kebangsaan.

''Walaupun dia tidak ada lagi tetapi sekurang-kurangnya pingat pemberian kerajaan negeri menjadi kenangan sampai bila-bila," katanya.

Utusan Malaysia

No comments: