Monday, May 5, 2014

Skuad hoki catat sejarah baharu


SKUAD hoki negara mencipta kejutan selepas menamatkan saingan Cabaran Juara-Juara 1 di tempat ketiga.


SKUAD negara menutup tirai Kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara 1 di Kuantan, Pahang kelmarin dengan kejayaan tempat ketiga sekali gus memahat sejarah baharu arena hoki tanah air.
Sebelum ini, pencapaian terbaik skuad negara pada kejohanan tersebut ialah menduduki tempat keempat sebanyak dua kali iaitu di Quilmes, Argentina pada 2012 dan di laman sendiri pada edisi 2001 yang lalu.

Malah, skuad negara juga difahamkan telah melonjak satu anak tangga daripada ranking ke-13 kepada ranking ke-12 dunia ekoran kejayaan yang dilakarkan pada edisi Cabaran Juara-Juara 1 kali ini.

Menurut ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, sejarah baharu yang dilakarkan ini serta perubahan ranking dunia merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan.
“Tengku Abdullah (Sultan Ahmad Shah) iaitu Presiden Persekutuan Hoki Malaysia memberitahu saya bahawa jumlah pungutan mata kita telah membolehkan kita memintas kedudukan Afrika Selatan (pasukan di ranking ke-12 dunia).

“Mungkin belum rasmi tetapi daripada apa yang dititahkan Tengku Abdullah, jelas ia merupakan satu kebanggaan kepada negara.

“Skuad ini juga merupakan skuad negara yang pertama berjaya mendapat gangsa dalam mana-mana kejohanan anjuran FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa). Kejayaan ini adalah sejarah baharu kepada negara,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, Dhaarma Raj tidak terlepas untuk meluahkan kekecewaan sejurus menyaksikan skuad bimbingannya ‘terlepas’ tiket final gara-gara tewas kepada Kanada menerusi penentuan pukulan penalti pada aksi separuh akhir Sabtu lalu.

Menurutnya, skuad negara berpeluang mara ke final dan boleh menewaskan Kanada berdasarkan kemampuan dan potensi sebenar setiap pemain.

“Bagi pandangan peribadi saya, saya memang kecewa gagal ke final. Kita sudah berjaya menewaskan New Zealand (ranking keenam dunia) dan laluan sudah terbuka luas untuk sekurang-kurangnya menjadi naib juara ataupun juara.

“Saya tidak kata Kanada pasukan yang lemah tetapi berdasarkan kemampuan kita, kita boleh kalahkan Kanada. Tiada kesilapan mana-mana pemain kerana kita adalah pasukan yang jauh lebih baik.

“Kita patut memenangi perlawanan tersebut (menentang Kanada) dan banyak peluang yang diperoleh. Saya rasa jika kita sempurnakannya, situasi itu akan berubah (penentuan pukulan penalti).
“Apa pun, tempat ketiga yang diraih pada kali ini adalah satu sejarah baharu dalam sukan hoki negara. Saya harap semua pemain dapat memperbaiki kelemahan masing-masing jika kita berhasrat meraih emas pada Sukan Asia nanti,” jelasnya.

Berakhirnya Cabaran Juara-Juara 1, skuad negara akan mengharungi tiga lagi kejohanan utama pada tahun ini iaitu Piala Dunia di The Hague, Belanda (31 Mei ini), Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland (Julai) dan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada September depan.


Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
zuhaily.badlishah@kosmo.com.my

No comments: