Wednesday, October 8, 2014

Bujang Taha Masuk Hospital Kerana Asma

KUCHING, 8 Okt (Bernama) -- Bekas jaguh bina badan negara Bujang Taha kini dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS) kerana menghidap asma.

Beliau mendapat rawatan sudah hampir seminggu dan dinasihati doktor agar kurang bercakap.

"Saya sudah dapatkan rawatan di HUS hampir seminggu. Semalam doktor tebuk untuk keluarkan air di bahagian paru-paru saya. Nak tengok?," katanya berjenaka dan menambah sejak dirawat, anak serta cucunya bergilir-gilir menjaga beliau.

Bujang, 77, merasa teruja kerana keadaanya turut disebarkan menerusi laman Facebook yang turut mendapat respons seorang lagi bekas jaguh bina badan negara, Datuk Malek Noor serta bekas Pengerusi Eksekutif Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) Datuk Paduka Mumtaz Jaafar yang juga bekas ratu pecut negara.

Bujang berkata Malik berjanji akan datang melawatnya.

Beliau berkata seorang lagi bekas atlet bina badan negara dari Sarawak iaitu Solomon Ismanto juga sedang dirawat di HUS.

Sempena perayaan Jubli Emas Kemerdekaan Sarawak baru-baru ini, Bujang diberi Pingat Terpuji Jubli Emas (P.T.E) bersama dua lagi bekas atlet negara kelahiran Sarawak iaitu Watson Nyambek (pelari pecut) dan Sapok Biki (tinju).

Pada kemuncak kariernya, Bujang memenangi gelaran Mr Asia sebanyak empat kali iaitu pada 1980, 1982, 1983 dan 1986 selain memenangi dua pingat emas pada Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 1977 dan di Jakarta pada 1979.

Beliau pernah bertanding Mr Universe di Belgium pada 1982.

-- BERNAMA

No comments: