Sunday, April 5, 2015

Impian besar Nicol mahu lahirkan ramai ‘Nicol David’



KUALA LUMPUR – Membuka akademi skuasy dan melahirkan ramai bintang dunia menjadi impian ratu skuasy negara, Datuk Nicol David dalam tempoh dua tahun dari sekarang. 

Jaguh berusia 32 tahun kelahiran Pulau Pinang itu berkata, akademi tersebut adalah sasaran peribadinya menjelang penghujung karier, malah dia turut berhasrat menjadi jurulatih kebangsaan.
Katanya lagi, akademi tersebut akan menyeimbangkan dua gabu­ngan iaitu dalam bidang akademik dan sukan skuasy.

“Selepas bersara, saya masih mahu melibatkan diri dalam sukan skuasy.
“Saya ingin menabur bakti kepada negara saya dengan apa yang telah saya kecapi selama ini.
“Saya juga mahu menubuhkan akademi saya sendiri di setiap ne­geri bagi menggilap bakat ge­nerasi muda, di mana ia turut menggabungkan bidang akademik dan sukan termasuk menyalurkan bantuan biasiswa.

“Itu sasaran utama saya iaitu melahirkan bakat-bakat baharu dalam sukan ini.
“Selain itu, saya juga berhasrat menubuhkan syarikat reka bentuk saya sendiri kerana saya amat menggemari seni rekabentuk. 

“Saya harap satu hari nanti saya dapat melibatkan diri dengan bidang tersebut,” katanya.
Nicol ditemui di Pusat Beli Belah Bangsar, di ibu negara semalam dalam majlis ramah mesra bersama peminat.

Majlis berkenaan bertujuan untuk membolehkan dia meraikan kejayaan mempertahankan kedudukan No. 1 dunia selama 107 bulan bersama peminat. 

Kejayaan Nicol itu telah mengatasi rekod Susan Devoya dari New Zealand iaitu 105 bulan.
Majlis tersebut dibawakan khas oleh Kumpulan CIMB, di mana Nicol merupakan duta terlama mereka iaitu sejak tahun 2006.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group Holdings Bhd., Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pihaknya berbangga dengan pencapaian dan prestasi konsisten yang diserlahkan Nicol.

“Sejak beliau dilantik sebagai duta CIMB pada tahun 2006, kami sudah melihat bakatnya dan kini Nicol meletakkan nama negara kita dalam peta dunia.

“Kekuatan mental dan sema­ngatnya amat menakjubkan dan CIMB berbangga bekerjasama de­ngan beliau dalam arena sukan,” katanya.


Utusan Malaysia

1 comment:

Kitahero said...

Tengku Zafrol vs Nadzri