Wednesday, August 3, 2016

Bola sepak negara menyerlah




KEJAYAAN melayakkan diri ke Sukan Olimpik 1972 di Munich adalah pencapaian terhebat buat bola sepak negara yang sehingga hari ini tidak mampu diulangi oleh generasi baharu. 

Meskipun gagal melepasi pe­ringkat Kumpulan A, Malaysia berjaya menewaskan Amerika Syarikat (AS) 3-0.

Gol-gol bersejarah pasukan negara ketika itu dija­ringkan oleh Shaharuddin Abdullah, Salleh Ibrahim dan Wan Zawawi Yusoff.

Bagaimanapun, dua lagi perlawanan Malaysia berkesudahan tewas 0-3 kepada tuan rumah, Jerman Barat dan 0-6 kepada Maghribi.

Biarpun pada akhirnya menutup kempen di tangga ke-10 daripada 16 pasukan, berjaya melayakkan diri dalam sukan No. 1 dunia dianggap pencapaian membanggakan buat skuad bola sepak.
Malah, pasukan negara ketika itu disambut bagaikan wira apabila pulang ke tanah air.

Selain penyertaan bersejarah skuad bola sepak, temasya Munich 1972 dibarisi atlet olahraga, lumba basikal, renang, menembak dan hoki.

Keseluruhannya, kontinjen Malaysia dibarisi oleh 54 atlet yang bertanding dalam 21 acara, meningkat 21 orang berbanding 33 sahaja yang dihantar dalam temasya empat tahun sebelumnya di Mexico.

Pada temasya 1968, jumlah penyertaan menurun ke­rana buat kali pertama kita menghantar kontinjen tanpa atlet dari Si­ngapura selepas negara itu bertindak keluar daripada Malaysia pada tahun 1965.

Selain hoki (18 pemain), olahraga menampilkan penyertaan terbanyak di Mexico iaitu 11 orang.
Penyertaan Malaysia turut dilengkapkan oleh atlet daripada sukan berbasikal dan angkat berat.
Kontinjen negara di Mexico juga hilang sedikit ‘seri’ kerana buat kali pertama tidak menampilkan atlet wanita.

Malah, temasya itu akan dikenang sebagai antara pencapaian terburuk skuad hoki apabila sekadar menamatkan kempen pada kedudukan kedua tercorot daripada 16 pasukan bertanding.

Bagaimanapun, M. Jegathesan (kini Tan Sri Dr.) menceriakan kem Malaysia dengan mengula­ngi pencapaian Olimpik Tokyo 1964 apabila melayakkan diri ke separuh akhir acara 200 meter.
Malah, dia turut mencatat rekod kebangsaan dengan kepantasan 20.92 saat pada pusingan pertama dan catatan tersebut masih tidak mampu dipecahkan sehingga hari ini.

Pada pusingan kedua, Dr. Jegathesan mencatat masa 21.01s dan catatan itu sedikit perlahan dalam separuh akhir - 21.05s.

Jumlah penyertaan Malaysia pada Sukan Olimpik 1976 di Montreal sedikit merosot dengan hanya 23 atlet berjaya melayakkan diri iaitu tiga daripada olahraga, dua menembak, seorang renang dan selebihnya hoki.

Ishtiaq Mubarak berjaya mencuri tumpuan peminat sukan tanah air apabila mara ke separuh akhir 110m lari berpagar lelaki.



UTUSAN MALAYSIA