SELEPAS
hanya mendengar mengenai kehebatan atlet luar dan kemeriahan Sukan Olimpik,
Malaysia akhirnya merasai sendiri pengalaman beraksi dalam temasya sukan
terbesar dunia itu dengan membuat penampilan sulung di Melbourne, Australia
pada 1956.
Kontinjen
negara yang ketika itu dikenali sebagai Malaya menghantar 33 atlet untuk menyertai
33 acara daripada lima jenis sukan, jumlah yang boleh dikatakan agak besar buat
pendatang baharu.
Seperti
diramalkan, tiada pingat berjaya dibawa pulang, namun penyertaan kali pertama
mencetuskan semangat luar biasa bukan sahaja kepada ahli sukan tanahair yang
lain, malah seluruh rakyat negara ini kerana ia membawa mesej kita boleh
berdiri bersama negara lain di dunia.
Satu-satunya
sukan yang menyerlah dalam penampilan sulung Malaya adalah hoki apabila pasukan
negara beraksi baik di peringkat kelayakan dan hanya tewas sekali.
Begitupun,
kurangnya pengalaman Olimpik menyaksikan mereka menamatkan kempen di kedudukan
kesembilan daripada 12 pasukan bertanding.
Selain itu,
penyertaan Annie Choong di Melbourne membolehkan dia menjadi wanita pertama
negara beraksi di pentas Olimpik, malah bintang 100 meter itu adalah atlet
wanita tunggal berada dalam kontinjen Malaya.
Dia, yang
baru berusia 20 tahun ketika itu menamatkan perlumbaan di tangga keempat dalam
saringkat kelima dan mencatat masa 12.50 saat.
Selain
Malaya, Borneo Utara yang kini dikenali sebagai Sabah juga pernah menyertai
temasya tersebut dan membuat penampilan sulung di Melbourne sebelum menjadi
sebahagian daripada Malaysia pada tahun 1963.
Pada
Sukan Olimpik 1960 di Rom, Itali, Malaya hanya menghantar kontinjen kecil yang
terdiri daripada sembilan atlet - tiga atlet olahraga, dua renang, dua menembak
dan dua angkat berat.
Sekali
lagi kontinjen negara gagal membawa pulang pingat, namun perkembangan itu tidak
mematahkan sokongan rakyat kepada atlet yang berusaha mengharumkan nama negara
kerana mereka sedar untuk layak beraksi ke temasya tersebut sahaja bukan tugas
mudah dan banyak ujian kelayakan perlu dilalui.
Pada
Temasya Tokyo 1964, kontinjen negara mula menyertai Sukan Olimpik secara
rasminya sebagai Malaysia.
Dalam
temasya tersebut yang berlangsung dari 10 hingga 24 Oktober 1964, Malaysia
diwakili 66 atlet yang terlibat dalam 10 jenis sukan dan 41 acara, iaitu peningkatan
besar berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Peningkatan
itu juga bermakna, ia merupakan kontinjen Malaysia terbesar pada Sukan Olimpik.
Sejak
penyertaan ketiga di Tokyo, Malaysia terus kekal menghantar penyertaan yang
ramai secara konsisten dan tidak gentar untuk bersaing dengan atlet dari
seluruh dunia.
Bagaimanapun
tiga temasya pertama masih belum menjelmakan sebarang pingat.
UTUSAN MALAYSIA
2 comments:
assalamualaikum. sy ada soalan, adakah malaysia mempunyai muzium/galeri sukan?
Peminat sukan tanahair
Post a Comment