Sunday, April 26, 2009

Engku Halim berlatih ala komando


LIBASAN maut Engku Halim (kanan) sering digeruni pihak lawan ketika dia melalui zaman kemuncaknya pada awal tahun 1990-an.






ENGKU HALIM (kanan) berkongsi pengalamannya bersama pemain sepak takraw negara.


BERLATIH ala komando dan duduk berseorangan di kawasan kubur pada waktu malam adalah latihan yang tidak akan dilupakan oleh setiap atlet.

Bagi bekas pemain sepak takraw negara, Engku Halim Ku Musa, 40, ia adalah latihan yang sukar untuk dilupakannya, malah menganggapnya sebagai luar biasa dalam sejarah kehidupannya bergelar atlet.

Latihan ala komando, tidak lagi kedengaran di kalangan atlet negara sekarang terutama untuk tujuan menguatkan aspek fizikal individu.

Ujian kekuatan mental iaitu duduk bersendirian di kawasan kubur pada waktu malam juga tidak pernah berlaku pada zaman seka- rang.

Bagi Engku Halim, kedua-dua latihan tersebut mempunyai keunikan tersendiri menjadikannya pemain yang memiliki fizikal dan mental yang cukup mantap.

Tidak hairan selepas menyertai latihan tersebut, dia bersama rakan seperjuangan meraih dua pingat emas pada Sukan Asia 1990 di Beijing.

Menurutnya, kerana terlalu takut sehingga ada di antara pemain yang menangis sewaktu berada di kawasan kubur, namun lama kelamaan mereka dapat menyesuaikan diri.

"Kami (seramai 12 pemain) diuji di kawasan kubur di Bangi serta ditinggalkan berseorangan dengan jarak 50 meter antara satu sama lain.

"Jurulatih yang bertanggungjawab mengarahkan kami ketika itu ialah Harris Abdul Rahman dan Yunus Ibrahim.

"Ia sesuatu yang menguji mental kami dan ada di antara pemain yang menangis," katanya yang kini bekerja sebagai juruteknik di DBKL merangkap jurulatih pasukan sepak takraw Kuala Lumpur.

Menurutnya, latihan ala komando di TLDM Lumut, Perak selama dua minggu juga cukup mencabar.

"Walaupun perit, namun ia adalah untuk kebaikan kami sebagai pemain dan ia telah terbukti berkesan menerusi kejayaan yang kami capai selepas itu," katanya.

Menyingkap kejayaannya sejak mewakili skuad negara, kenangan yang tidak dapat dilupakan ialah ketika memenangi pingat emas pada Sukan Asia 1990 di Beijing.

Menurutnya, dia bersama Razi- man Hassan (apit kiri) dan Norani Adnan (tekong) berjaya menewaskan regu Thailand pada perlawanan penentuan acara berpasukan.

"Kami berhempas-pulas menewaskan regu Thailand pada perlawanan ketiga yang cukup menarik. Regu ketiga kami beraksi dengan cemerlang sepanjang perlawanan yang berlarutan selama dua jam.

"Kemenangan itu adalah hasil penat lelah kami menyertai latihan yang sungguh luar biasa.

"Selain kemenangan itu, sorakan ribuan peminat yang membanjiri stadium negara untuk menyaksikan Kejohanan Sepak Takraw Sedunia MAS-Utusan- RTM turut segar dalam ingatan saya," katanya.

Kariernya sebagai pemain sepak takraw negara mula terjejas apabila digugurkan daripada skuad kebangsaan kerana mengalami kecederaan pinggang selepas Kejohanan Piala Merdeka Brunei pada tahun 1992.

"Saya mengalami kecederaan pada bahagian pinggang. Enam bulan saya tidak beraksi.

"Apa yang pasti, saya sangat sedih kerana hanya melihat rakan-rakan beraksi dari luar gelanggang," katanya.

Ekoran kecederaan itu prestasinya semakin tidak menentu dan memutuskan untuk bersara selepas Kejohanan Piala Raja Thailand pada tahun 1994.

"Saya rasa tidak lagi mampu beraksi kerana rakan seperjuangan juga ramai yang bersara termasuk Raziman Hassan," katanya.

Bakat Engku Halim diwarisi daripada bapanya, Ku Musa Ku Abdul Rahman yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan pada tahun 1960 hingga 1983.

"Minat saya timbul selepas dorongan bapa saya yang juga bekas pemain kebangsaan.

"Bapa saya mewakili negara selama 18 tahun serta pernah menjulang beberapa trofi.

"Dia sering membawa saya untuk mengikutnya menyertai latihan dan lama kelamaan saya menaruh minat dalam sukan ini.

"Ketika zaman ayah saya, mereka mudah menjinakkan musuh tradisi kita, Thailand," ujarnya.

Kini, bakat yang ada pada Engku Halim diwarisi anak sulungnya, Engku Mohd. Shazwan, 18, yang kini sudah mewakili Kuala Lumpur pada Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu tahun lalu.

Ditanya mengenai prestasi pasukan sepak takraw negara sekarang, Engku Halim berkata: "Pemain negara memiliki potensi untuk pergi lebih jauh lagi. Mereka perlu memiliki kekuatan mental serta keyakinan diri yang tinggi.

"Mereka harus mengekalkan prestasi dari semasa ke semasa dan tidak terlalu bergantung dengan jurulatih untuk mengadakan latihan. Latihan bersendirian untuk meningkatkan tahap kecergasan adalah penting."

Menurutnya, skuad sepak takraw kebangsaan mampu mengatasi Thailand jika mereka terus berusaha gigih untuk meningkatkan prestasi.

No comments: