Wednesday, April 8, 2009

Rajamani - Ratu Olahraga



Pernah dipanah petir ketika latihan, lagu Negaraku jadi pembakar semangat

DATUK M Rajamani sudah melalui pelbagai liku kehidupan sebelum berhasil melakarkan kejayaan cemerlang dalam olahraga terutama lari pecut dan jarak sederhana.

Jika pada era 1960an, M Jegathesan adalah raja olahraga maka Rajamani adalah ratunya dengan penampilan cukup menakjubkan untuk memukul rantau Asia dan memahatkan diri antara yang atlit terbaik sezaman.

Terselamat daripada panahan petir ketika menjalani latihan, Rajamani tampil dengan semangat waja demi mengharumkan nama negara dan walaupun tidak banyak ganjaran atau insentif diterima tetapi ia tidak menghalangnya daripada untuk terus beraksi dengan cemerlang.

Rajamani hanya mendapat elaun RM64 ketika mewakili Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo 1964 dan sepasang ‘spike’ usang menjadi alas kakinya ketika berlari tetapi dia tetap menampilkan kepantasan luar biasa.


Bagi, Rajamani yang menggerakkan dirinya untuk terus berlari ialah perasaan sayu dan bersemangat apabila setiap lagi lagu kebangsaan Negaraku dimainkan apabila dia berdiri megah di atas pentas kemenangan.

Rajamani, 64, mula berjinak dengan olahraga ketika Darjah Empat di Sekolah Rendah Kerajaan di Tapah apabila dia terpilih selaku pelari terakhir dalam acara berganti-ganti.

Kemudian ketika berusia 18 tahun dia beraksi pada kejohanan olahraga Terbuka Malaya 1964 dan mendapat bimbingan jurulatih R Suppiah tetapi hanya pada 1965, barulah potensi sebenarnya terserlah.

Bekas guru itu mendominasi Sukan Seap 1965 di Kuala Lumpur dengan memenangi empat emas iaitu 100 dan 200 meter, 400m dan 4x400m dan dipilih penerima pertama Olahragawati Kebangsaan pada tahun itu.

Setahun kemudian, Rajamani membuktikan kehebatannya di peringkat Asia apabila meraih emas dalam acara 400m dan gangsa 4x400m bersama Padzilah Ahmad, Sheryl Doral, Jacklyn Kleimann dan sekali lagi diumumkan Olahragawati Kebangsaan 1966.

Pada tahun berikutnya, dia memenangi acara 400m, 800m, 4x100m dan menduduki tempat kedua dalam 200 meter di Temasya Seap di Bangkok.

Selepas bersara, Rajamani tidak pernah meminggirkan darinya daripada olahraga sebalik sentiasa memberi tunjuk ajar dalam usaha mendidik lebih ramai pelari muda mengikuti jejak langkahnya.

Tahun lalu, Rajamani mendapat pengiktirafan tertinggi apabila dianugerahkan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Tuanku Jaafar (DPTJ) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan ke-84 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.

Anugerah itu cukup bermakna buat Rajamani dan menganggapnya sebagai satu pengiktirafan atas segala curahan bakti yang dilakukannya selama lapan tahun melayari balapan antarabangsa bagi mengharumkan nama Malaysia.

"Saya cukup terharu," kata Rajamani. "Selepas 14 tahun bersara, saya akhirnya mendapat pengiktirafan yang cukup bermakna dalam hidup saya."

DATA
Rajamani Mailvaganam


Tarikh Lahir: 10 Nov 1943
Tempat: Tapah, Perak
Suami: M Rajalingam
Anak: Preema Geetha, Gouri dan Vishnu.
Kerjaya:

1962-1968: Acara 200m, 400m dan 800m
1962-1966: Wakili Perak dalam kejohanan Persatuan Olahraga Perak
1962-1968: Wakili Malaysia dalam Kejohanan Olahraga Kebangsaan
1964: Emas 100m, 200m, 400m dan 800m (Terbuka Perak)
Emas 400m dan perak 800m (Terbuka Singapura)
Emas 200m, 400m dan 800m (Terbuka Kebangsaan
Ambil bahagian di Sukan Olimpik, Tpkyp
1965: Emas 200m, 400m, 800m, 4x100m (Sukan Seap Kuala Lumpur)
Emas 200m, 800m (MAAU All-Comers)
Emas 100m, 200m, 400m (Terbuka Perak)
1965-1966: Guru di Ipoh, Perak.
1966: Emas 400m dan gangsa 4x100m (Sukan Asia Bangkok)
Wakili Malaysia di Sukan Komanwel, Kingston, Jamaica.
1967: Emas 400m, 800m & 4x100m (Sukan Seap)
Emas 100m, 200m, 400m dan 800m (Terbuka Selangor)
Emas 100m, 200m dan 400m (Terbuka Perak)
Emas 400m, 800m dan 4x100m (Terbuka Kebangsaan)

No comments: