Oleh Omar Osman
bhsukan@bharian.com.my
BUKTI kesungguhan untuk memikul cabaran negara pernah menyaksikan Ramli Desa sanggup mengayuh basikal daripada Alor Star ke Kuala Lumpur untuk menjalani latihan skuad Sukan Seap 1971.
Namun kerjayanya dalam sukan berbasikal berakhir pada 1980 apabila mengalami kecederaan kaki kanannya akibat dirempuh kereta di persimpangan Batu Dua, Jalan Kampung Raja yang mengakibatkannya terlantar hampir setahun di hospital.
Kini, selepas bersara daripada jawatan selaku pemandu di Majlis Perbandaran Sungai Petani, Ramli, 58, sekadar tinggal di rumah bersama isterinya, Muhaiza Ali.
“Jika dibanding ketika ini, pelumba dulu memang susah. Tiada kemudahan dan bantuan, malah saya terpaksa berjimat daripada gaji RM130 sebulan untuk membeli basikal berharga RM500.
“Kini, pelumba beruntung kerana bukan saja disediakan basikal, malah tempat latihan moden dan berlatih pula di luar negara,” katanya yang pernah membantu skuad berbasikal lebuh raya memenangi pingat emas Sukan Seap 1973 di Singapura.
Dua kekecewaan masih tersimpan dalam ingatannya - apabila basikalnya rosak 15km sebelum tamat kejohanan Asia di Singapura selain tidak dapat beraksi di Sukan Olimpik Munich 1972 biarpun namanya tersenarai.
Selepas kemalangan itu, dia pernah menjadi jurulatih berbasikal Kedah dan antara pelumba pernah mendapat asuhannya termasuklah Samsudin Abdullah dan Aziman Ahmad.
“Ketika ini, memang sukar untuk menyara keluarga dengan wang pencen RM700. Saya berterima kasih kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosman Mansor yang melancarkan Tabung 1Ringgit 1Malaysia untuk membantu bekas atlit seperti saya,” katanya.
Pihak dan individu prihatin boleh menderma menerusi akaun Yakeb untuk kempen 1Ringgit 1Malaysia, 564847005696 (Maybank) atau disalurkan menerusi SMS dengan menaip YAKEB1, YAKEB2, YAKEB5 atau YAKEB10 (RM1, RM2, RM5, RM10) ke 33898.
No comments:
Post a Comment