Thursday, January 7, 2010

Datuk James Selvaraj


[Image: jame002.jpg]EPLx Kosmo! Apa khabar, Datuk?

Datuk James Selvaraj Bagus, sihat.

Terima kasih kerana meluangkan masa untuk temu bual ini. Sebagai seorang ahli sukan dan legenda dalam sukan badminton, Datuk tentunya turut meminati bola sepak.

Benar. Bola sepak satu daripada sukan kegemaran saya.

Datuk adalah legenda badminton negara dan mula bergiat di bangku sekolah. Bagaimana pula dengan pembabitan Datuk dalam bola sepak?

St John’s Institution (SJI) (kini SMK St John) sebuah sekolah yang menggalakkan kegiatan sukan, jadi saya aktif dalam pelbagai sukan, terutama badminton, hoki dan merentas desa. Dalam bola sepak pula, saya bermain sebagai pemain tengah tetapi hingga peringkat kelas saja. Masa terluang saya lebih tertumpu kepada badminton, hoki dan larian jarak jauh. Kalau ada saja perlumbaan jarak jauh dan merentas desa, saya antara paling awal mendaftar. Badminton pula memang kegilaan saya waktu itu.




Jadi Datuk mengikuti perkembangan bola sepak Inggeris?

Saya secara diam-diam meminati Chelsea. Saya tidak suka bising-bising meuar-uarkan pasukan kegemaran saya. Dalam keluarga saya, isteri meminati Arsenal, anak tunggal kami pula menyokong Manchester United. Sekarang ini, Chelsea mendominasi EPL. Kadangkala saya suruh mereka diam kerana Chelsea menduduki tangga teratas. Perbezaan pendapat dan kelab ini bagi saya mewujudkan persaingan yang sihat.




Kenapa Chelsea, Datuk?

Saya menyokong the Blues ini hampir 20 tahun. Bagi saya ia kelab yang mengamalkan tradisi dan corak menyerang dan sentiasa positif. Malangnya Chelsea ketandusan kejuaraan besar sehingga sentuhan dari Itali, disusuli suntikan dana Roman Abramovich serta kehadiran Jose Mourinho mencetus kebangkitan besar-besaran.




Siapa pemain kegemaran Datuk?

Pada awal 1990-an, Glenn Hoddle merupakan pemain yang saya kagumi. Walaupun peminat bola sepak lebih mengingati sumbangannya bersama Spurs, saya masih terbayang-bayang cara Hoddle mengawal jentera tengah dan kadangkala benteng pertahanan ketika di hujung kerjayanya. Ketika ini saya mengagumi Nicolas Anelka dan Michael Ballack. Anelka rajin mencari ruang dan tidak mengehadkan sumbangannya di depan gol. Dia juga jarang menghampakan. Apabila Chelsea memerlukan jaringan, Anelka akan menyempurnakannya. Ballack pula ibarat jeneral di padang. Kalau pemain tempatan pula, dulu saya meminati M. Chandran (kini Datuk). Dia kapten Malaysia dan bek tengah yang berwibawa.




Adakah Datuk rajin menonton perlawanan membabitkan Chelsea?

Tidak kira EPL atau Liga Juara-juara Eropah, saya jarang ketinggalan menyaksikan aksi Chelsea. Hingga kadangkala televisyen yang menonton saya.








Biodata

Datuk James Selvaraj
Tarikh lahir: 21 Nov, 1950
Keluarga: Isteri Datin Veronica Anne, anak Jason
Pencapaian: Pingat gangsa Sukan SEA 1977, naib juara Piala Thomas di Bangkok 1976, pingat gangsa Sukan Komanwel Edmonton 1978.

EPLx KOSMO

No comments: