Sunday, September 5, 2010

Yahya Jusoh semakin pulih


Ahmad Said (kiri) membantu Yahya Jusoh berjalan ketika mengunjungi bekas pemain bola sepak kebangsaan itu di rumahnya dekat Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU - Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Yahya Jusoh yang terlantar lumpuh sejak akhir tahun lalu, kini sudah semakin pulih.
 
Seangkatan dengan Datuk Soh Chin Aun dan Allahyarham Mokhtar Dahari, Yahya, 58, mula diserang penyakit lumpuh berikutan sakit tulang leher yang dialami pada November tahun lalu.

Dia yang menyarung jersi pasukan kebangsaan dari 1975 hingga 1981 berkata, keadaan kesihatannya semakin pulih selepas menjalani pembedahan di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

"Saya sudah pulih 80 peratus dan berharap dapat kembali berjalan seperti biasa," katanya ketika ditemui selepas dikunjungi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di rumahnya di Permin Jaya di sini, semalam.
Penderitaan tonggak pertahanan Terengganu pada era 1970-an dan 1980-an itu mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Yayasan Kebajikan Atlet (Yakeb) yang telah membiayai keseluruhan kos pembedahannya.
Yahya yang mula berkecimpung dalam arena bola sepak pada 1970 sebelum mewakili pasukan Terengganu bermula dari 1972 berkata, dia kini perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini bagi memastikan tahap kecergasannya semakin baik.

"Saya perlu melakukan rawatan fisioterapi sekali dalam seminggu selain rawatan ortopedik yang dilakukan sekali dalam tempoh dua minggu," jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, kerajaan negeri akan sentiasa memantau perkembangan kesihatan Yahya yang telah membantu mengharumkan nama Terengganu dalam sukan bola sepak.

Menurut beliau, pihaknya juga akan memastikan bekas pemain bola sepak itu mendapat rawatan terbaik.
"Kita sentiasa memberi perhatian kepada beliau yang merupakan bekas pemain negeri dan kebangsaan," ujarnya.


Utusan

No comments: