Sunday, May 22, 2011

Bakri Ibni bintang yang dilupakan


BAKRI berkhidmat secara percuma di Akademi Bolasepak Kelab Nuri bagi membimbing generasi muda.


MENGETAHUI calon yang akan ditemubual penulis bagi ruangan Nostalgia Jaguh minggu ini ialah bekas jaguh bola sepak negara, Bakri Ibni - namanya tidaklah seglamor 'Supermokh', Allahyarham Mokhtar Dahari, 'Tauke' Soh Chin Aun, mahu pun Hassan 'Lipas Kudung' Sani - maka sehari sebelum itu, terpaksalah penulis membuat sedikit homework untuk mengenalinya secara ringkas.

Tidak sukar untuk mencari latar belakang seseorang jaguh sukan. Anda hanya perlukan enjin pencarian Google, taipkan saja nama. Itulah yang dilakukan penulis dan terpaparlah hasil pencarian mengenai Bakri.
Baru penulis kenal rupa-rupanya beliau ialah pemain bola era 70-an dan 80-an, dan beliau juga anggota kesebelasan utama yang melakar kemenangan sensasi 2-1 ke atas Korea Selatan, sekaligus layak ke Olimpik 1980 di Moscow.

Lebih menarik, Bakri adalah salah seorang penjaring gol dalam nostalgia 6 April 1980 di Stadium Merdeka yang masih menjadi sebutan sehinggalah hari ini.

Bagaimanapun, butiran mengenai gol pembukaan yang dijaringkan Bakri gagal dicari dalam mana-mana laman web, yang diketahui ia dihasilkan pada minit ke-12.
Sebaliknya, gol kemenangan pada babak akhir permainan yang diilhamkan Hassan dengan larian pantas mengatasi dua pemain lawan sebelum meleretkan bola itu untuk disudahkan James Wong, dapat ditonton kerana ia dimuatnaik dalam laman Youtube.

Maka dengan itu, penulis berazam mahu memastikan jaringan gol Bakri juga harus diimbas semula untuk pengetahuan pembaca, bukan sekadar pada minit ke-12 seperti yang terpapar dalam kebanyakan laman web.
Jadi, soalan pertama penulis terhadap Bakri yang kini berusia 57 tahun, pada pertemuan Selasa lalu ialah bagaimanakah gol itu menjelma?

Bakri yang memakai kemeja dan berkopiah berkata: "Pada masa itu, saya meluru ke dalam kotak penalti begitu juga James. Satu hantaran jauh dari Shukor Salleh ditujukan kepada James, namun bola termuntah kepada saya yang berada di kanan gawang. James dikawal ketat oleh beberapa pertahanan lawan.
"Jadi saya mengambil kesempatan mengawal bola itu tapi pada masa sama penjaga gol Korea Selatan telah meluru keluar. Saya tenang menolak bola itu menewaskannya.

"Bek kanan Korea berlari ke arah gawangnya sendiri cuba mengeluarkan bola, namun sudah terlewat. Mereka cuba membantah gol itu tidak sah kerana mendakwa bola masih belum melepasi garis gol, namun penjaga garisan teguh dengan keputusannya...saya amat pasti dia jelas melihatnya, begitu juga penonton di stadium.

"Gol tersebut sememangnya cukup bermakna sepanjang karier bola sepak saya."
Korea Selatan menyamakan kedudukan menerusi Kim Gang-nan pada minit ke-58 sebelum gandingan Hassan dan James membuatkan puluhan ribu penyokong Malaysia di Stadium Merdeka bersorak kegembiraan pada malam tersebut.

Terdahulu, skuad negara ketika itu yang dididik Karl Heinz-Weigang pada peringkat kumpulan juga menewaskan Korea dengan 3-0, seri 1-1 dengan Jepun, membelasah Filipina 8-0 dan Indonesia juga dibaham 6-1.

Malaysia menamatkan saingan sebagai juara kumpulan tersebut, namun terpaksa berdepan perlawanan dengan naib juara, Korea menentukan siapa menempah satu lagi tiket mengiringi Syria dan Kuwait mewakili Asia.

Bagaimanapun, Bakri dan rakan-rakan tidak kesampaian beraksi di Rusia berikutan keputusan kerajaan menyahut seruan Amerika Syarikat memboikot temasya berkenaan. Tempat Malaysia digantikan Iraq.
Biarpun tidak jadi ke Olimpik, mereka telah dihantar menjelajah dunia termasuk ke New York, Switzerland dan Jerman.

"Yang paling menarik ialah ketika di Jerman. Weigang mengaturkan perlawanan persahabatan dengan sebuah kelab amatur di Frankfurt yang mana kami menang 11-0.
"Weigang mencabar kami, kalau boleh menang dengan jurang 11 gol, dia akan belanja kami makan di luar. Sebaik mendahului 9-0, kesebelasan utama kami dikeluarkan dan digantikan dengan pemain lebih junior seperti Wan Jamak Hassan.

"10 minit berlalu, jumlah jaringan masih tidak berubah dan entah kenapa, Weigang memasukkan semula Chin Aun untuk bermain sebagai penyerang. Ternyata Tauke memang unggul dan hebat, dia tambah dua gol untuk menjadikan kedudukan 11-0

"Di Zurich, kami bertemu kelab profesional Liga Swiss, Grasshoppers FC. Menyangka kami mudah diratah, mereka silap selepas kami mendahului 2-0. Perlawanan berkesudahan 2-2," ujarnya.
Mengenai latar belakang bola sepaknya pada peringkat awal, Bakri memberitahu, beliau bermain bola sepak secara kompetitif seawal usia 10 tahun.

"Ketika itu, saya bermain di bawah bimbingan Syed Yazid Abdan yang mengendalikan budak-budak di peringkat persekolahan. Saya juga membentuk nilai kepimpinan di dalam diri saya seawal itu, bayangkan saya diberi kepercayaan oleh jurulatih untuk mengemudi latihan seluruh pasukan ketika dia ada urusan lain.
"Untuk kejohanan Sekolah-sekolah ASEAN pertama pada 1969, saya dilantik mengetuai skuad bawah 15 tahun.

"Daripada peringkat sekolah rendah dan menengah mewakili telah negeri, saya kemudian menyertai skuad Singa Utara. Saya tidak pernah berpindah ke pasukan lain sehinggalah pada 1984, saya meninggalkan Perlis atas sebab tertentu dan menyertai Talasco untuk bersatu dengan Allahyarham Mokhtar," katanya.

Bakri juga memiliki kelayakan kejurulatihan dari England dan Jerman, di samping lesen A di Malaysia.
Biarpun pernah menjadi jurulatih skuad kebangsaan dan Perlis, bagi Bakri, saat paling seronok untuknya ialah ketika membimbing pasukan Bank Rakyat yang dianggotai rata-rata daripada golongan kerani, despatch dan pengawal keselamatan, tetapi masih berkeupayaan muncul juara saingan antara bank.

"Satu demi satu divisyen kami panjat, saya sangat bangga dengan pasukan saya kerana mampu bersaing dengan bank-bank lain yang sibuk membeli pemain sana sini. Selama enam tahun itu, saya mempunyai kebebasan penuh dalam mengendalikan pasukan itu," ujarnya.

Ketika ditanya sama ada dia berminat untuk melatih pasukan negeri, Bakri berkata: "Tidak untuk peringkat negeri dan kebangsaan, terlalu banyak campur tangan pihak lain," jawabnya ringkas tanpa mahu mengulas lanjut.

Sesungguhnya sehingga hari ini, cintanya terhadap bola sepak masih begitu mendalam. Selain sibuk berniaga, Bakri masih mencuri masa melibatkan diri dalam bola sepak di peringkat akar umbi.

"Sejak dua tahun lalu, saya menjadi jurulatih Akademi Bola Sepak Nuri secara percuma. Saya akan terus memainkan peranan dalam mengembangkan bola sepak negara, mudah-mudahan ada pemain berbakat daripada kelab ini diterjemahkan kepada pemain bertaraf dunia kelak," katanya mengakhiri perbualan.



No comments: