Sunday, May 22, 2011

Nordin bermula, berakhir di Manila


NORDIN (empat dari kiri) bersama anak-anak didiknya yang bernaung di bawah Nordin Jadi Athletic Club (NJAC) ketika sesi latihan di Stadium Larkin, Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI


LAGAK jalannya masih seperti dahulu, bertenaga dan penuh yakin. Biarpun tubuhnya kian dimamah usia, ketangkasannya menghayun kaki menyusuri trek lumba lari di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, Johor Bahru tetap seperti zaman kegemilangannya pada 1980-an.

Semasa era kemasyhurannya, sebut sahaja nama Nordin Jadi, pasti segenap lapisan masyarakat mengenali wajah atlet tinggi lampai yang mengharumkan nama negara dengan memenangi emas dalam acara 400 meter pada Sukan SEA di Bangkok, Thailand pada 1985.

Nordin mencatat 47.18 saat untuk menewaskan lawannya dari Filipina, Romeo Gido (47.50) dan I. Wayan Budi (48.03), sekali gus memadamkan memori pahit berpuas hati dengan pingat perak di Sukan SEA edisi sebelumnya di Singapura.

Walaupun disanjung, namun Nordin tidak sesekali alpa dengan kejayaan itu, malah semangat juangnya terus berkobar-kobar dengan memenangi beberapa kejohanan sama ada di dalam atau luar negara selepas itu.
Semasa ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini, anak kelahiran Bukit Gambir, Muar yang kini berusia 49 tahun itu tetap bersemangat bercerita perkembangan terbaru serta mengimbau kembali nostalgia silam yang tetap 'membalut' perjalanan hidupnya sehingga kini.

Bapa kepada empat cahaya mata ini tidak segera menjawab apabila ditanya kenangan manis semasa masih bergelar atlet, sebaliknya melirikkan senyumnya sambil membayangkan setiap momen manis ketika beraksi di pentas balapan.

Nyata lirikan itu penuh makna dan menurutnya, kenangan yang tidak boleh dilupakan semasa beraksi pada pentas Sukan Olimpik 1984 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

"Itulah kali pertama saya masuk Sukan Olimpik. Ketika itu saya berjuang dalam dua acara iaitu 200 meter dan 400 meter. Bayangkan penyertaan pertama membuatkan saya terpaksa berentap dengan jaguh dunia yang lain, namun demi negara dan sukan tercinta, saya tekad untuk berjuang sedaya upaya.

"Pada waktu itu, saya sekadar mampu bertempur sehingga saringan kedua iaitu mendapat tempat kelima dalam acara 200 meter dengan catatan masa 21.88 saat, manakala bagi 400 meter merakam masa 47.12 saat," katanya.

Menurutnya, walaupun tidak berjaya meraih pingat dalam kedua-dua acara itu, namun penyertaan pada Sukan Olimpik tetap membanggakan kerana bukan semua atlet yang mampu bersaing ke peringkat berkenaan.

Bagi acara 200 meter, meskipun tidak berkesempatan berlari bersama jagoan pecut Amerika Syarikat, Carl Lewis, mahupun pemegang rekod dunia, Pietro Mennea dari Itali, pelari yang diundi bersama dalam saringan dua bukan calang-calang orang.

Salah seorangnya, Ralf Lubke dari Jerman Barat ialah pelari pecut yang melangkah ke aksi akhir dan meraih tempat kelima pada temasya tersebut.

Begitu juga dalam acara 400 meter, Nordin berpeluang berlari bersama juara 400 meter benua Afrika, Gabriel Tiacoh dari Ivory Coast, yang merupakan pemenang pingat perak acara berkenaan di Los Angeles.
Nyata penyertaan itu terus membakar semangatnya apabila turut sekali lagi melayakkan diri ke sukan yang sama bagi acara 400 meter di Seoul, Korea Selatan pada 1988.

"Biarpun gagal memenangi sebarang pingat, namun saya berjaya membaca cabaran negara untuk acara 400 meter dengan mendapat tempat keenam dan catatan masa 49.52 saat," katanya.

Dalam tawa yang masih bersisa mengenang kembali memori itu, Nordin yang pernah menerima Anugerah Olympiad pada 2005 berkata, penyertaannya dalam kedua-dua acara di Sukan Olimpik biarpun gagal memenangi sebarang pingat, tetapi dia tetap memberikan saingan kepada jaguh-jaguh dunia yang lain.
Seperkara lagi yang tidak mampu dilupakannya apabila dia sambil berseloroh memberitahu 'segalanya bermula dan berakhir di Manila'.

Menurutnya, penglibatannya dalam pentas sukan antarabangsa sebenarnya bermula apabila menyertai Sukan SEA di Manila, Filipina pada 1981.
"Lebih nostalgia, larian terakhir saya juga ketika beraksi pada Sukan SEA di Manila 10 tahun kemudian," katanya.

Walaupun kini tidak lagi bergelar atlet, cinta Nordin pada sukan olahraga tidak pernah padam dan kini dia meneruskan kerjaya dengan menubuhkan sebuah pusat latihan yang diberi nama Nordin Jadi Athletic Club (NJAC) yang beroperasi di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin.



UTUSAN MALAYSIA

No comments: