Thursday, January 15, 2015

Hilang belum berganti



Buku yang diilhamkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ini mengumpul kronologi penting kehidupan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari sepanjang kariernya dalam sukan bola sepak sehingga meninggal dunia ketika berusia 37 tahun pada 11 Julai 1991. 

Bukan wang yang seharusnya menjadi taruhan, sebaliknya bermain untuk menang adalah tanggungjawab dan menjadi juara adalah penentu kepada maruah pasukan.

Itulah falsafah yang menjadi pendorong untuk membawa Mokhtar memimpin skuad bola sepak Selangor menjulang 10 kali trofi kejuaraan Piala Malaysia dan dua kali naib juara sepanjang 16 tahun kariernya bersama pasukan itu dari 1972 hingga 1987.

Sehingga bersara, Mokhtar mencipta sejarah dengan mengumpul 302 jaringan, 177 daripada Piala Malaysia dan 125 menerusi penyertaan peringkat antarabangsa.

Beliau yang turut diiktiraf sebagai penjaring terbaik Asia pada 1976 tidak percaya kepada bakat semula jadi sebaliknya sentiasa bertegas bahawa prestasi terbaik hanya dapat dicapai hasil daripada latihan keras.

Istimewanya, setiap peristiwa penting yang berlaku dalam karier legenda ini yang dicatatkan dalam buku itu turut disertakan petikan ulasan Mokhtar sendiri.

Petikan itu diambil daripada tulisan beliau dalam ruangan ‘Mokhtar Dahari Menulis’ dan ‘Dialog Bersama Mokhtar’ dalam majalah Dunia Sukan terbitan Kumpulan Utusan dari 1981 hingga 1983 dan selepas itu dalam ruangan ‘On Target’, akhbar New Straits Times sehingga 1987.

Walaupun kita mengenali beliau sebagai pemain bola sepak hebat tetapi tidak ramai yang mengetahui kebolehannya menulis secara kritis dan berterus terang. 


Banyak tulisannya tidak disenangi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang berulang kali memberi amaran kepada beliau supaya berhenti menulis.

Walaupun ditegur, Mokhtar tidak mudah mengalah dan dalam satu tulisannya beliau menegaskan: “Mengapa mesti menghalang pemain bola sepak daripada bercakap kepada media? Apa sebabnya mereka tidak boleh menulis cerita dan perkara yang menjadi kemahiran mereka iaitu bola sepak?”
Satu lagi keistimewaan buku ini adalah memuatkan kisah di sebalik tabir yang selama ini tidak diketahui umum khususnya peminat Mokhtar. 

Antaranya, mengenai sebab sebenar beliau mengumumkan bersara daripada mewakili pasukan kebangsaan pada 1979.

Walaupun alasan yang diberinya kerana keletihan selepas terbabit dengan begitu banyak permainan di peringkat antarabangsa, sebab sebenarnya adalah kecewa setelah dihentam peminat dan pihak media yang menuduh pemain negara terlibat mengatur perlawanan.

Menurut balu Allahyarham, Datin Tengku Zarina Tengku Ibrahim, Mokhtar pernah menangis selepas Selangor kalah dalam satu perlawanan separuh akhir Piala Malaysia. 

Mokhtar memberitahunya, beliau bersimpati dengan peminatnya yang sanggup datang menonton walaupun dalam keadaan hujan lebat dan beliau telah mengecewakan mereka.

Pada akhir tahun 1988, doktor telah mengesahkan kepada balu Allahyarham, bahawa Mokhtar menghidap penyakit Motor Neuron Disease (MND) yang tiada penawarnya dan hanya boleh hidup paling lama sehingga tiga tahun lagi.

Pengesahan doktor bagaimanapun dirahsiakan daripada pengetahuan Mokhtar kerana Zarina mahu beliau terus tenang, kuat semangat dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

Walaupun sudah 24 tahun meninggalkan kita, petikan tulisan Mokhtar dan temu bual dengan keluarga serta rakan-rakannya dalam buku ini boleh dijadikan panduan untuk mengembalikan semula kegemilangan skuad bola sepak negara sebagai antara pasukan digeruni di rantau Asia.

Seperti yang ditulis penulis yang merupakan seorang bekas wartawan dalam kata pengantar bahawa semua berharap pemain hari ini bermain seperti Mokhtar yang menangani setiap permainan seperti perlawanan akhir yang menjadi penentu kejuaraan seluruh musim.

Tulisnya, orang ramai juga berharap pemain hari ini mencontohi Mokhtar yang sentiasa mencari peluang meneruskan latihannya secara bersendirian selepas tamat sesi bersama pasukan.

Tambah penulis, bila menyebut mengenai ‘bersih’, Mokhtar menyifatkan permainan yang dicemari dengan gejala rasuah sebagai sampah. 

Bila memperkatakan mengenai kesetiaan, Mokhtar berikrar bola sepak sebagai jiwa serta darahnya. Hidup matinya adalah untuk Selangor negerinya dan Malaysia negaranya - biarpun sering ditawar ganjaran lumayan untuk berhijrah ke pasukan lawan selain kontrak besar luar negara.

Mokhtar ialah wira legenda Malaysia, tokoh yang patahnya belum tumbuh dan hilangnya hingga kini masih belum berganti.
 

No comments: