MUAR –
Bekas ratu pecut basikal negara, Halimah Mohd. Janis, 39, yang kini terlantar
di rumah ibunya, di Parit Raja, dekat sini akibat kemalangan terharu apabila
menerima sumbangan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kelmarin.
Dia yang
memenangi pingat perak acara pecut basikal wanita pada Sukan SEA 1997 dan 2001
menerima cek berjumlah RM2,943.11 sebagai bayaran sebahagian gaji selama 43
hari selepas hospital memberikannya cuti sakit.
Pengurus
Perkeso Muar, Redhuan Muda@Mohad Yatim berkata, pihaknya menyerahkan cek bagi
faedah hilang upaya sementara selepas siasatan mendapati Halimah layak menerima
bayaran itu.
“Hasil
siasatan awal mendapati Halimah layak menerima bantuan itu kerana terlibat
dalam kemalangan ketika pulang dari tempat kerja. Bantuan ini akan diberikan
sepanjang dia bercuti sakit.
“Selain
itu, kami akan memberi bantuan lain seperti lampin pakai buang, namun Halimah perlu
membuat tuntutan dengan menyertakan resit pembelian,” katanya.
Halimah
yang bertugas sebagai pengurus di sebuah restoran makanan segera kemalangan
pada 7 Januari lalu ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bandar Baru
Bangi, kira-kira pukul 2 pagi.
Akibat
kemalangan itu, dia patah tangan kanan dan kaki kiri serta mengalami pendarahan
dalaman sehingga menyebabkannya tidak mampu bergerak dan terlantar.
“Halimah
menjalani fisioterapi setiap hari, bagaimanapun ada masanya pesakit berdepan
masalah seperti pengangkutan dan kos.
“Berikutan
itu, kami mahu membawanya ke Pusat Pemulihan Perkeso di Melaka kerana semua
kelengkapan dan pakar ada di situ.
“Begitu
juga tempat tinggal untuk kemudahan mereka. Dengan cara ini bukan sahaja akan
menjimatkan belanja malah memudahkan pesakit,” katanya.
UTUSAN
No comments:
Post a Comment