Thursday, February 12, 2015

‘Legenda pengacara sukan’




Putrajaya: “Saya sifatkan arwah (Datuk Hasbullah Awang) sebagai legenda pengacara sukan malah beliau sebahagian daripada legenda sukan negara,” kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ahmad Shabery mengaku negara berduka atas pemergian Allahyarham dan satu kehilangan besar buat dunia penyiaran sukan negara.

Menurutnya, aspek penyiaran sukan tiada erti sekiranya tiada komentator yang baik dan berkaliber.
“Bintang boleh datang dan pergi, namun tidak semua bintang boleh digilap sebaik Hasbullah. Arwah seorang bintang yang tidak boleh dicari,” katanya.

Arwah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur kira-kira jam 12.20 tengah hari semalam akibat komplikasi jantung.

Rakan sejawat, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula menerusi akaun twitternya: “Sedih mendapat berita pemergian voice of Malaysian sports Datuk Hasbullah Awang. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah SWT.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, FAM mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, seorang pengulas sukan yang cukup mahir, fasih dan arif tentang bola sepak.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail pula mengakui mempunyai hubungan akrab apabila mula mengenalinya sejak 1988.


Arena - Harian Metro

No comments: