Wednesday, November 25, 2009

Kesihatan Santokh semakin baik


Razali Ibrahim (tengah) sambil diiringi Zolkples Embong ketika meluangkan masa melawat Santokh Singh di Hospital Besar Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim akan meminta Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) melihat bentuk sumbangan untuk bekas pemain bola sepak negara, Santokh Singh yang kini terlantar di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Katanya, kementerian berharap yayasan yang dipimpin Datuk Paduka Dr. Mumtaz Jaffar ini mampu menjalankan daya usaha tertentu dalam meringankan beban keluarga bek tengah Selangor dan Malaysia pada era 1970-an hingga 80-an itu.

"Kementerian tiada skim khas dalam membantu atlet yang mengalami masalah sebegitu tetapi kami berharap Yakeb mengambil daya usaha tertentu dan melihat keperluan yang boleh diberikan kepada Santokh," katanya selepas mengunjungi bekas pemain itu di sini, semalam.

Mengenai Santokh yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Am (GICU) HKL sejak Khamis lalu, kata Razali, bekas pemain berusia 57 tahun dan memiliki 150 penampilan antarabangsa itu, semakin pulih dan mampu mengenali sesiapa yang hadir melawatnya.

"Dia teruja dengan kedatangan kami (bersama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong dan Ketua Pengarah Institut Sukan Negara, Datuk Dr. Ramlan Aziz) dan cuba berkomunikasi tetapi ada tiub yang dipasang pada mukanya.

"Saya cukup menghormati beliau bukan sekadar pemain bola sepak kebanggaan negara bahkan dia menjadi contoh pada zaman kemuncaknya. Saya pun terkejut dia dimasukkan ke HKL kerana dalam beberapa majlis yang dihadirinya sebelum ini, dia cukup sihat," katanya.

Walaupun tidak serius dan hanya mungkin didapati mengalami jangkitan virus, Santokh menurutnya, masih perlu ditahan dan dipantau di wad GICU HKL manakala alat bantuan pernafasan yang dipasang padanya, cuma sebagai memudahkannya bernafas dengan selesa.

Sementara itu, Razali menggesa mana-mana atlet yang masih aktif membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mahupun membeli polisi perlindungan insurans sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya ditimpa penyakit, kemalangan atau kecederaan serius.

"Kebanyakan mereka hanya bermain dan bekerja secara kontrak dan kemungkinan tidak memiliki skim insurans atau mencarum dengan KWSP.

''Justeru perlu ada langkah berjaga-jaga apatah lagi kita tidak tahu dan tidak mampu menduga bilakah sesuatu yang buruk bakal berlaku," katanya. UTUSAN

No comments: