Monday, November 9, 2009

Nasib Thillainathan dibela




Zainol Fadzi Paharuddin (kiri) bertanyakan sesuatu kepada A.I. Thillainathan di Sweet Garden, semalam.

IPOH - Apabila menyebut nama A.I. Thillainathan, pasti ramai yang terpinga-pinga dan tertanya-tanya siapakah gerangan individu berkenaan.

Bagaimanapun, bagi mengenang dan menghargai jasanya sebagai ahli sukan, adalah perlu untuk disenaraikan beberapa pencapaian hebatnya dalam mengharumkan nama Perak dan Malaysia.

Pertama sekali, lelaki yang kini berumur 83 tahun itu pernah mewakili Malaya dalam pertandingan hoki peringkat antarabangsa antara 1952 hingga 1956.

Selain hebat bermain hoki, beliau juga merupakan pemain ragbi bagi pasukan Perak mulai 1953 hingga 1958.

Tidak cukup dengan itu, Thillainathan juga menguasai sukan kriket apabila mewakili Utara Malaya dan Perak antara tahun 1947 hingga 1972.

Kehandalannya juga terserlah dalam sukan bola sepak sebagai pemain utama Perak selama lapan tahun iaitu mulai 1951 hingga 1959 malah pernah bermain badminton di peringkat negeri.

Senarai itu dilengkapi dengan kebolehannya dalam acara olahraga dengan mewakili negeri ini dalam acara lari berganti-ganti selama dua tahun iaitu pada 1947 hingga 1948.

Kehebatan lelaki ini menarik perhatian banyak pihak hingga terpilih sebagai penerima Anugerah Malayan School Colours.

Lebih membanggakan, beliau antara tujuh rakyat negara ini yang bertuah menyaksikan istiadat kemahkotaan Ratu Elizabeth di United Kingdom pada 1949.

Itu cerita zaman kegemilangan lampau Thillainathan. Kini beliau tidak segagah dulu apabila menderita penyakit kencing manis sejak empat tahun lalu.

Menyedari kesukaran yang dihadapi anak Perak serba boleh itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Zainol Fadzi Paharudin mengadakan lawatan mengejut bagi melihat sendiri keadaan Thillainathan di Sweet Garden di sini semalam.

''Saya fikir kita sangat bertuah kerana masih dapat bertemu dengan jaguh sukan serba boleh seperti Thillainathan. Bayangkan beliau amat cemerlang. Bukan setakat Perak malah mewakili Malaya. Kejayaannya itu memang sukar dibandingkan dengan mana-mana atlet," katanya. - UM

No comments: