KUALA LUMPUR - Pemain wanita No. 1 dunia, Datuk Nicol David kini tergolong antara pemain paling terulung sepanjang zaman apabila namanya akan dimasukkan ke dalam senarai Dewan Kemasyhuran (Hall of Fame) Persekutuan Skuasy Dunia (WSF).
Nicol, 28, akan diberi penghormatan pada satu majlis makan malam sempena Kejohanan Terbuka Dunia dan Mesyuarat Agung Tahunan WSF di Rotterdam, esok.
"Untuk diiktiraf pencapaian saya setaraf seperti sekumpulan pemain handalan dalam sejarah tatkala saya masih aktif bertanding, perasaannya adalah tak dapat digambarkan.
"Ia sungguh menakjubkan dan saya berasa amat bangga. Meskipun telah bermain dalam sirkit profesional untuk lebih 10 tahun, anugerah ini tidak bermakna saya merancang untuk bersara," ujar Nicol kegembiraan sebaik dimaklumkan berita baik itu.
Gadis kelahiran Pulau Pinang itu juga mengintai rekod gelaran keenam Terbuka Dunia yang sedang rancak berlangsung di bandar raya Belanda tersebut minggu ini.
Nicol yang memiliki 55 gelaran Jelajah Dunia, telah pun menyamai rekod mentornya, Sarah Fitz-Gerald dengan merangkul gelaran dunia kelima tahun lalu.
Pada Mac lalu, Nicol memintas bekas jaguh Australia, Michelle Martin untuk menjadi pemain kedua paling lama memegang status pemain No.1 Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa (WISPA) sepanjang zaman.
Memasuki bulan ini, Nicol sudah menjangkau bulan ke-67 (sejak Ogos 2006) di persada ranking WISPA, namun masih jauh perlu mengejar Susan Devoy dari New Zealand yang gah dengan rekod 105 bulan.
Nicol bakal menjadi pemain ke-12 dalam senarai dewan kemasyuran yang juga menampilkan Michelle, Sarah dan Susan bagi pemain wanita selain dua legenda Pakistan, Jahanghir Khan dan Jansher Khan untuk lelaki.
Oleh TAN MING WAI
tan.mingwai@utusan.com.my
No comments:
Post a Comment