|
|
KUALA LUMPUR - Selepas melakar sejarah merangkul kejuaraan berpasukan buat kali pertama, Zulfadli Zulkifli dan beregu, Nelson Heg-Teo Ee Yi melengkapkan hari gemilang Malaysia dengan dengan merangkul gelaran berganda individu pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Taiwan, semalam.
Zulfadli mencipta sejarah muncul pemain negara sulung bergelar juara remaja dunia perseorangan lelaki selepas menewaskan juara bertahan yang juga pilihan utama, Viktor Axelsen dari Denmark 21-18, 9-21, 21-19.
Empat bulan selepas dinobatkan sebagai juara Asia, pemain yang bernaung di bawah kelab KLRC itu berjaya merealisasikan apa yang gagal dilakukan Yeoh Kay Bin pada 1998 dan Iskandar Zulkanain Zainuddin, dua tahun lalu.
"Alhamdulillah, saya rasa bersyukur kerana mencipta nama untuk Malaysia meraih gelaran sulung perseorangan lelaki dan lebih bermakna pada sambutan Aidiladha.
"Kemenangan ini saya tujukan sudah pasti kepada bapa yang juga jurulatih peribadi saya, Zukiffli Sidek, ibu serta adik-adik. Tidak lupa juga kepada penaja saya, KLRC dan Forza," katanya dalam satu pesanan ringkas kepada Utusan Malaysia semalam.
Zulfadli bermula garang pada set pertama untuk selesa mendahului 17-9, namun hilang rentak seketika dan memberi ruang untuk Axelsen mengejar sehingga 17-14. Mujur pemain berusia 18 tahun itu tenang untuk menghabiskan set pembukaan dengan kemenangan 21-18.
Cerita set kedua penuh berat sebelah menyaksikan Zulfadli gagal menyaingi pemainan agresi Axelsen yang meraih 11 mata menerusi smash untuk menang mudah 21-9.
Set penentuan berlangsung sengit dengan kedua-dua pemain mengejar antara satu sama lain untuk terikat 8-8 sebelum Axelsen mula meningkatkan permainan untuk membuka jurang 12-8.
Namun, Zulfadli bangkit merapatkan kedudukan pada 12-13, sebelum pertarungan kembali sengit sehingga 18-18. Dia akhirnya menang 21-19.
Dua jam selepas itu, tiba giliran Nelson-Ee Yi menghadiahkan keceriaan berganda buat kem Malaysia apabila menumpaskan pasangan tuan rumah, Huang Po Jui-Lin Chia Yu 21-17, 21-17.
Nelson-Ee Yi berjaya menebus kehampaan tahun lalu apabila terpaksa berpuas hati muncul naib juara selepas dikalahkan rakan senegara, Ow Yao Han-Yew Hong Kheng.
Lebih manis ia memastikan kejuaraan beregu lelaki kekal menjadi milik Malaysia untuk tahun keempat berturut-turut selepas Yao Han-Hong Kheng (2010), Chooi Kah Ming-Yao Han (2009) dan Mak Hee Chun-Teo Kok Siang (2008).
Sejak kejohanan diperkenalkan pada 1992, kita memang gah dalam acara beregu lelaki.
Statistik terbukti dengan Malaysia menguasai tujuh kali acara itu daripada 13 edisi keseluruhannya termasuk tahun ini.
Jeremy Gan-Chang Chong Ming menjadi juara beregu lelaki pertama Malaysia pada pada 1996. diikuti Chong Ming-Teo Kok Seng (1997) dan Hoon Thien How-Tan Boon Heong (2004).
Malaysia juga pernah dua kali muncul juara beregu campuran menerusi gandingan Chong Ming- Joanne Quay pada 1996, sebelum diulangi oleh beregu berbakat, Lim Khim wah-Ng Hui Lin, empat tahun lalu.
No comments:
Post a Comment