Wednesday, August 15, 2012

Hilangnya tokoh sukan negara



KEMATIAN legenda sukan badminton negara, Datuk Punch Gunalan semalam merupakan satu kehilangan besar kerana beliau banyak menyumbang jasa dan tenaga untuk pembangunan sukan badminton negara.

Punch Gunalan, 68 (gambar), meninggal dunia di Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya kira-kira 6.20 pagi semalam akibat kanser pundi hempedu selepas tenat sejak dua minggu lalu di hospital sama.

Mendiang meninggalkan isteri, Datin P. Vijeyakumari, 64, dan anak lelaki, Roshan Gunalan, 36, seorang doktor ortopedik.

Sumbangan yang diberikan oleh Punch Gunalan semasa hayatnya bukan sekadar membawa pulang kejayaan kepada negara, malah lebih besar daripada itu apabila mendiang menyambung keringat sebagai jurulatih kebangsaan selepas bersara pada 1975 dan kemu- dian bergiat aktif dalam persatuan badminton peringkat kebangsaan dan dunia.

Beliau mendapat pendedahan awal dalam sukan badminton sekitar tahun 1950-an ketika usianya baru mencecah enam tahun menerusi tunjuk ajar bapanya, Panchacharan.

Secara kompetitif, bakatnya mula menonjol ketika menjadi juara pada Kejohanan Badminton Negeri Sembilan dalam kategori perseorangan dan beregu lelaki serta beregu campuran (1961-1963) dan sejak itu, beliau tidak menoleh ke belakang lagi.

Pada 1970, mendiang melakar sejarah tersendiri apabila meraih emas pertama negara pada Sukan Komanwel di Edinburg, Scotland bersama-sama Ng Boon Bee dalam acara beregu lelaki dan diikuti pingat emas acara perseorangan dan beregu pada Sukan Asia di Bangkok, Thailand dalam tahun yang sama.

Pada tahun berikutnya iaitu dalam Kejohanan Seluruh England, gandingan Punch Gunalan-Boon Bee terus mengecapi kejayaan apabila mereka memenangi kate- gori beregu lelaki.
Kehandalan Gunalan dalam arena badminton menjadikannya antara pemain perseorangan dan beregu lelaki terbaik dunia.

Mendiang sekali lagi beraksi cemerlang pada Sukan Komanwel di Christchurch, New Zealand pada 1974 dengan meraih emas acara perseorangan dan gangsa bagi acara beregu.
Punch Gunalan turut membawa balik pingat emas dalam acara perseorangan dan beregu pada Sukan SEA 1973 di Singapura.

Mendiang juga mewakili skuad Piala Thomas negara pada 1970 dan 1973.
Selepas bersara pada 1975, Punch Gunalan terus menyumbang kepada dunia badminton dengan menjawat jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dari 1975 hingga 1982 dan merupakan Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur dari 1984 hingga 2007.

Beliau kemudian dipilih menja- wat jawatan Setiausaha Kehormat BAM dari tahun 1985 hingga 1997 sebelum dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Gabungan Persatuan Badminton Asia dari tahun 1989 hingga 1993.

Pada 1990, beliau dilantik seba- gai ketua jurulatih untuk skuad Piala Thomas dan Uber yang dianjurkan Jepun dan pengurus pasukan Malaysia pada Sukan Komanwel yang berlangsung di New Zealand.

Ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Piala Thomas dan Uber pada 1992, Punch Gunalan sekali lagi dilantik sebagai ketua jurulatih negara dan berjaya membawa Malaysia menjulang Piala Thomas pada tahun itu.

Hasil kejayaan itu menyaksikan beliau dilantik sebagai pengurus skuad badminton negara pada Sukan Olimpik di Barcelona, Sepanyol pada tahun yang sama, yang mana gandingan adik-beradik, Razif dan Jalani Sidek meraih pingat gangsa acara beregu lelaki iaitu pingat pertama Malaysia di pentas Olimpik.
Semasa hayatnya, mendiang pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Kehormat Perseku- tuan Badminton Asia dari 1991 hingga 2005.

Antara jawatan penting yang pernah disandang mendiang ialah Timbalan Presiden BAM pada 2005 dan Presiden Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) pada 2004 hingga 2008. – Bernama

No comments: