Wednesday, August 15, 2012

Punch naikkan nama Malaysia - Siti Hasmah

PUTRAJAYA - Bekas Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali menyifatkan pemergian bekas bintang badminton, Datuk Punch Gunalan sebagai satu kehilangan kepada negara kerana jasanya yang besar dalam menaikkan imej sukan tersebut.

Menurutnya, sebagai insan yang bertanggungjawab memperkenalkan sukan badminton sehingga ke peringkat antarabangsa, jasa mendiang harus diingati dalam sejarah negara.
Katanya, mendiang merupakan satu-satunya pemain badminton berketurunan India yang berjaya di peringkat kebangsaan dan Asia.

''Mendiang selalu mengajak saya untuk turut sama memberi sokongan kepada pemain negara yang bertarung dalam kejohanan besar seperti Sukan Komanwel di Kanada, Sukan Olimpik Barcelona, Piala Dunia dan Piala Thomas di beberapa buah negara.

''Ada ketikanya mendiang meminta saya menjadi pendamai apabila ada pemain beregu yang tiada persefahaman seperti Soo Beng Kiang dan Cheah Soon Kit sebelum mereka berdua kemudian berdamai dan muncul juara Piala Thomas," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, semalam.

Punch, 68, meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya semalami selepas bertarung dengan penyakit barah hati.

Penglibatan cemerlang Punch dalam sukan badminton bermula pada awal 1960-an dan pernah mewakili negara ke Piala Thomas, beregu Sukan Asia dan Sukan Komanwel.
Selepas bersara, Punch melibatkan diri dalam bidang kejurulatihan dan merupakan Ketua Jurulatih Malaysia ketika menjuarai Piala Thomas pada 1992

Dr. Siti Hasmah berkata, mendiang juga berjaya mendapatkan sokongan dari negara-negara Asia seperti China dan Jepun sehingga ramai pemain luar negara, termasuk Eropah datang berlatih di Kuala Lumpur.

''Saya dan keluarga mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang, terlalu banyak jasa dan pengorbanan yang telah dilakukannya untuk menaikkan martabat sukan badminton sehingga nama Malaysia dikenali di peringkat antarabangsa," katanya.




Oleh Norliza Abd. Rahman
sukan@utusan.com.my

No comments: