KUALA LUMPUR 15 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, seluruh rakyat Malaysia akan merindui legenda badminton negara, mendiang Datuk Punch Gunalan yang meninggal akibat barah hati hari ini.
Katanya, mendiang sangat berjasa kepada pembangunan sukan badminton negara dan sumbangan besar beliau termasuk membantu Malaysia memenangi pingat di peringkat antarabangsa sungguh tidak ternilai.
"Baru mendapat berita yang Punch Gunalan meninggal dunia. Mendiang terlalu banyak berjasa kepada pembangunan sukan badminton negara. Kita semua pasti akan merindui beliau," kata beliau menerusi laman Twitternya, hari ini.
Dunia badminton negara dikejutkan dengan kematian mendiang yang menghembus nafas terakhir pada pukul 6.20 pagi ini ketika usianya menjangkau 68 tahun selepas dua minggu terlantar di hospital.
Bersama pasangannya, Ng Boon Bee, beliau memenangi emas pertama Sukan Komanwel di Edinburgh, Scotland pada 1970. Pada tahun yang sama juga pasangan ini meraih pingat emas Sukan Asia di Bangkok, Thailand dalam acara beregu.
Mendiang juga berjaya menambah koleksi emas dalam temasya tersebut selepas memenangi acara perseorangan dan gandingannya bersama Boon Bee terus digeruni apabila berjaya menjulang trofi berprestij, All England pada 1971.
Selain digeruni di peringkat Komanwel dan Asia, Punch Gunalan juga berjaya mengharumkan nama negara di Sukan SEA apabila memenangi emas acara perseorangan dan beregu pada 1973 semasa temasya di Singapura.
- UTUSAN
No comments:
Post a Comment