PRINSIPNYA hanya satu - tidak suka mencabar.
Jika dicabar, pemimpin ini lebih suka mengalah. Namun, isti- lah mengalah dalam dirinya bukanlah bermakna dia takut kepada mana-mana cabaran.
Malahan, dia terus tenang berdepan segala isu mahupun masalah, seiring dengan pengalaman luasnya sebagai Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sejak 1992.
Itulah wajah peribadi Datuk Sieh Kok Chi, seorang pemimpin sukan, bekas jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan bekas bintang polo air negara.
Sekali imbas, tiada siapa menyangka anak kelahiran Selangor ini adalah tonggak pertaha- nan kepada pasukan polo air negara suatu ketika dahulu.
Kudratnya begitu diperlukan dan semangatnya di kolam renang menjadi antara senjata pasukan negara ketika beraksi pada kejohanan antarabangsa. Pentas Sukan SEA atau dikenali dengan Sukan SEAP pada awal penganjuran bukanlah asing bagi Kok Chi.
Bekas pelajar Victoria Institu- tion (VI) ini pernah membawa cabaran Malaysia pada temasya Sukan SEAP 1965 di Kuala Lumpur, 1967 (Bangkok) dan 1969 di Rangoon, Myanmar dengan menghadiahkan tiga kilauan pingat perak.
"Asasnya adalah berenang. Kalau pandai berenang maka peluang untuk beraksi dalam acara polo air sangat terbuka," jelas Kok Chi ketika ditemui baru-baru ini.
"Bagi saya, semuanya bermula ketika saya memasuki sekolah VI dari tahun 1951 hingga 1957. Ketika itu, sukan menjadi perkara wajib bagi semua pelajar dan bagi saya, di sekolah inilah saya mula mengenal kolam renang dan asas berenang."
Atas dasar minat, Kok Chi meneruskan usahanya untuk menjadi jaguh di kolam renang dengan menjadi ahli Kelab Renang Chin Woo, iaitu sebuah kelab swasta yang giat mempromosikan acara renang termasuk sukan polo air di sekitar Kuala Lumpur.
"Bermula dari situ, saya mula serius dan dengan jumlah ahli yang mencukupi, maka kami membentuk sebuah pasukan polo air di mana menyertai kelom- pok pasukan awal yang wujud di Ipoh, Pulau Pinang dan Singapura.
"Pada tahun 1958, saya mula memasuki alam universiti dan menjadi generasi pertama kepada pembentukan Universiti Malaya (UM) di Lembah Pantai. Secara kebetulannya, UM yang sebelum itu berlokasi di Singapura mempunyai ramai pemain polo air berpengalaman dan semakin seriuslah saya dengan sukan ini."
Begitupun, impian Kok Chi untuk menyarung jersi negara di pentas kejohanan antarabangsa hanya hadir pada tahun 1965 ketika usianya telah mencecah 27 tahun selain memegang tanggungjawab sebagai jurutera di JPS.
Peluang itu hadir apabila Kuala Lumpur diberi penghormatan buat pertama kali menganjurkan Sukan SEAP pada tahun 1965, sekali gus menjadikan sukan polo air sebagai satu daripada sukan yang dipertandingkan.
"Sukan polo air tidak dipertandingkan pada Sukan SEAP pertama pada tahun 1959 dan 1961. Pada tahun 1963, jawatankuasa bersetuju menjadikan polo air sebagai satu acara dalam Sukan SEAP tetapi penganjur ketika itu, Kemboja tidak mempunyai kelengka- pan untuk menyenaraikan acara tersebut.
"Begitupun, apabila Kuala Lumpur dipilih sebagai tuan rumah pada 1965, maka polo air secara rasmi dipertandingkan di pentas Sukan SEAP," tambah Kok Chi lagi.
Kesempatan itu membolehkan Kok Chi dan rakan sepasukan meraih pingat perak, selepas hanya tewas dengan perbezaan jaringan kepada Singapura. Mereka meneruskan tradisi dengan kejayaan sama pada edisi Sukan SEAP 1967 dan 1969 di Bangkok dan Rangoon.
Namun, harapan Kok Chi untuk beraksi di pentas Sukan Asia pada tahun 1966 di Bangkok tidak kesampaian gara- gara 'politik dalaman' yang berlaku dalam persatuan renang ketika itu.
"Ketika itu, saya bertugas di Kuantan, dan sebagai orang lama dalam pasukan kebangsaan, agak terkejut juga apabila nama saya diketepikan. Saya rasa wujud ketidakadilan dalam memilih pemain untuk mewakili negara," tambahnya.
Walaupun sempat menjejakkan kaki ke Sukan Asia pada tahun 1970, iaitu kejohanan terakhirnya sebelum bersara pada usia 32 tahun, namun 'politik dalaman' yang berlaku pada tahun 1966 telah mengubah persepsi Kok Chi kepada sistem pengurusan persatuan yang tidak telus ketika itu.
"Sejak insiden itu (digugurkan), saya bertekad untuk mengubah segala sistem yang ada dalam persatuan terutama dalam memilih pemain untuk mewakili pasukan kebangsaan," jelas Kok Chi yang menjadikan Persatuan Renang Amatur Sela- ngor (PRAS) sebagai destinasi pertamanya bergelar pemimpin sukan.
Menjadi Setiausaha PRAS dari tahun 1971 hingga 1974 membolehkan Kok Chi menimba lebih banyak pengalaman sebelum memasuki arena yang lebih mencabar sebagai pemimpin persatuan sukan peringkat kebangsaan.
Gaya kepimpinan yang ada dalam diri Kok Chi membolehkan dia dicalonkan dan seterusnya menang bagi jawatan Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) pada tahun 1975 hingga 1982.
Selepas itu, Kok Chi menghabiskan tempoh 10 tahun 'bekerja' secara sukarela di Majlis Olimpik Malaysia dengan banyak membantu kerja-kerja yang dilakukan Setiausaha MOM ketika itu, Thong Poh Nyen.
Begitupun, pada tahun 1992, Kok Chi memulakan era baru dalam kepimpinannya apabila dia dipilih mengisi kerusi Setia- usaha Kehormat MOM, menggantikan tempat Poh Nyen.
"Saya tidak suka mencabar dan saya hanya mahu memegang sesatu jawatan apabila saya tidak mempunyai komitmen dengan perkara lain.
"Memandangkan saya telah bersara sebagai kakitangan kerajaan pada tahun 1990 dengan jawatan terakhir sebagai Pengarah Kejuruteraan Pantai, maka barulah saya sedia memegang jawatan sepenting ini," tambah Kok Chi.