Tuesday, March 29, 2011

Suka duka warnai karier Rosman

SETIAP jaguh sukan mempunyai cerita tersendiri dalam karier mereka. Legenda basikal trek negara, Rosman Alwi, juga tidak terkecuali.

Sepanjang penglibatannya dalam perlumbaan basikal trek antarabangsa selama dua setengah dekad, Rosman telah menempuh pelbagai suka duka.

Daripada memori pahit seperti gagal ujian dadah, diserang ilmu hitam sehinggalah kenangan manis bergelar Juara Pecut Asia dan Juara Dunia 'B' dialami anak kelahiran Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur itu.
Rosman, 50, mengimbas saat paling mengecewakan pada Ogos 1989 pada Sukan SEA Ke-15 di Kuala Lumpur.

Biarpun meraih perak acara 200m acara pecut, hakikatnya dia kecewa apabila kecundang di tanah air sendiri.
Rosman masih ingat saingan acara tersebut yang memasuki pusingan penentuan selepas dia dan lawannya dari Indonesia, Kalimanto masing-masing menang satu pusingan.

Rosman tiba-tiba rebah dan tidak sedar diri sebelum perlumbaan penentuan dimulakan.
Selepas dirawat hampir setengah jam, Rosman terpaksa menarik diri kerana keadaan tidak mengizinkan.
Apa punca Rosman rebah? Sehingga hari ini, Rosman sendiri masih tertanya-tanya apakah 'penyakit misteri' yang dialaminya.

"Semuanya tidak kena pada temasya tersebut bukan hanya pada hari perlumbaan. Beberapa hari sebelum Sukan SEA saya sesak nafas dan sakit dada, fikiran jadi tidak menentu.
"Apa yang pelik, apabila diperiksa doktor, saya disahkan sihat. Kemudiannya doktor tanya sama ada saya percayakan ilmu hitam?" katanya.

Tambahnya, dia terkilan ekoran ada laporan media yang mendakwa dia sengaja 'buat pengsan' kerana takut kalah.

Lapan tahun sebelum itu, Rosman berdepan skandal dadah apabila gagal ujian saringan air kencing pada Sukan SEA 1981 di Manila, menyebabkan dia dikenakan penggantungan dua tahun.

Namun, insiden itu mempunyai hikmah. Rosman menggunakan sebaik-baiknya tempoh dua tahun sepanjang penggantungan dengan berlatih bersungguh-sungguh.

Dia kembali ke pentas antarabangsa dengan meraih gangsa pada Kejohanan Berbasikal Asia di Bangkok pada 1983.

Tahun 1985 dan 1987 merupakan tempoh paling berjaya dalam kariernya. Dia berjaya melunaskan dendam 1981 dengan meraih dua emas beserta dua rekod Sukan SEA.

Pada 1987, Rosman muncul Raja Pecut Asia selepas mengungguli acara 200m pecut Kejohanan Asia.
Pada tahun 1995, Rosman menjuarai Kejohanan Dunia B di Velodrom Rakyat, Ipoh.
Pada usia 40, Rosman bertanding pada Sukan SEA terakhirnya di Kuala Lumpur pada 2001 sebelum mengumumkan persaraan sukan yang begitu dicintainya setahun kemudian.

Sunday, March 20, 2011

Mumtaz hidup untuk berkhidmat...



HIDUP untuk berkhidmat... Demikian baris ayat yang paling tepat menggambarkan kehidupan bekas ratu pecut kebangsaan, Datuk Dr. Mumtaz Jaafar, 49, dari dahulu sehinggalah sekarang.


Pada zaman 80-an beliau mewakili negara bertanding dalam acara pecut di peringkat antarabangsa.

Antara kejayaan paling sensasi, Mumtaz mengharumkan nama negara pada Sukan SEA 1981 di Manila, apabila membolot tiga butir emas dalam acara 100m, 4x100m serta 4x400m, sekali gus muncul sebagai Ratu Pecut Asia Tenggara seawal usia 19 tahun.

Lebih sedekad kemudian, setelah bersara ternyata anak kelahiran Nilai, Negeri Sembilan itu tidak dapat memisahkan dirinya daripada arena sukan olahraga yang begitu dicintainya. Mumtaz terus berkhidmat, kali ini selaku jurulatih.

Mumtaz diberi kepercayaan untuk membimbing atlet-atlet muda menghadapi Sukan Komanwel 1998. Watson Nyambek, yang juga pelari pecut utama negara ketika itu adalah anak didiknya.

Kini, tahun 2011 Mumtaz belum lagi dapat berehat. Tanggungjawabnya juga kian berat kerana diberi tugas untuk mengetuai Yayasan Kebajikan Bekas Atlet Kebangsaan (YAKEB) yang mempunyai keahlian hampir 1,500 orang sejak ditubuhkan pada 25 Julai 2007.

Ketika ditemui di pejabatnya di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini, Mumtaz mengakui betapa banyak kerja perlu diuruskan sejak menerajui YAKEB. Namun, beliau tidak pernah mengeluh.

Sebaliknya, ibu kepada empat cahaya mata itu berasa amat puas dengan setiap titik peluh yang dititiskan.
“Satu demi satu pengalaman saya timba sebagai Pengerusi YAKEB menyedarkan saya realiti sebenarnya: “Ya Allah, ramainya (bekas-bekas atlet) yang perlukan bantuan kebajikan, khususnya mereka yang dihantui masalah kesihatan,” kata Mumtaz yang tiba-tiba suaranya bernada tinggi
“Apabila saya melihat semua ini, saya begitu sedih dan tertekan. Setiap masa saya fikirkan jalan bagaimana mahu jana lebih banyak dana untuk bantu biayai kos perubatan mereka, masa nak tidur pun saya fikir,” jelasnya.

Justeru, beliau mengarahkan kakitangan YAKEB agar tidak menggunakan dana yayasan dalam menganjurkan sesuatu majlis, tetapi dengan bergerak aktif mencari penaja.
Ujar Olahragawati Selangor 1981 itu, YAKEB sentiasa mencari jalan menganjurkan pelbagai majlis dan aktiviti bagi mengumpul dana ditambah ke dalam tabung yayasan.

Begitupun, Mumtaz berasa kecewa kerana terdapat segelintir pihak yang salah faham, menganggap dirinya juga mendapat habuan daripada wang YAKEB.
“Tapi bagi saya, saya tidak kisah apa mereka katakan, yang penting diri saya ikhlas melaksanakan tanggungjawab. Kalau saya pecah amanah, maka saya terpaksa jawab di akhirat nanti.

“Apabila sesuatu majlis YAKEB dapat jana RM2 juta, RM3 juta, orang kata: `Mumtaz dah kaya’. Persepsi luar adalah kita meraih sebahagian daripada wang yang dijana, tapi ingin saya tegaskan segala-gala wang yang dijana adalah seratus peratus untuk kebajikan,” ujar beliau.

Selain YAKEB, Mumtaz juga merupakan Naib Presiden Kesatuan Olahraga Kebangsaan Malaysia (KOAM) dan penasihat kepada organisasi sukan yang lain.
Di sebalik kesibukan Mumtaz seolah-olah wanita korporat, beliau tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu.

“Jika ada kelapangan, saya suka mengemas rumah dan memasak. Saya sukakan rumah saya bersih dan kemas. Anak-anak pula amat sukakan masakan saya. Selain itu, ada kalanya saya juga gemar membuat kraftangan,” katanya.